Tetak, langgar abang sampai mati



Kuala Lumpur: Akibat gagal mengawal kemarahan, seorang adik sanggup menetak sebelum melanggar abangnya sendiri sehingga mati dalam kejadian di Jalan 219, Seksyen 51A, Petaling Jaya, malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, pertengkaran kedua beradik berusia 30-an itu dipercayai akibat perebutan hak milik sebuah lori yang diusahakan bersama sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, siasatan awal mendapati terdapat kesan darah dan sebuah motosikal ditemui di tempat kejadian dengan kesan langgar.

Katanya, polis percaya suspek yang juga adik mangsa bertindak menetaknya sebelum merempuh dengan sebuah kenderaan sehingga mengakibatkan kecederaan serius di kepala dan badan.

"Mangsa dihantar oleh ahli keluarganya sendiri ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan setibanya di hospital, mangsa disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya masih menunggu hasil laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian mangsa. METRO ONLINE

0 Response to "Tetak, langgar abang sampai mati"