Kulaijaya : “Mereka anak saya, selagi terdaya saya akan menunaikan janji kepada arwah suami supaya menjaga mereka,” kata seorang ibu tunggal yang menanggung empat anak orang kurang upaya (OKU) yang mengalami kecacatan tulang belakang atau skoliosis kongenital sejak dilahirkan.
Bagi Suyati Aryo Sadi, 43, walaupun hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, namun dia harus menunaikan janji kepada arwah suaminya Khairul Anuar Ajis yang meninggal dunia lima tahun lalu untuk membesarkan Nurain, 15; Nurisah, 12; Nuraini, 10 dan Mohamad Safaruddin, 6.
“Sebelum suami meninggal dunia akibat penyakit jantung berlubang, dia mahu saya berjanji supaya tidak akan meninggalkan anak dan pulang ke Indonesia walau apa keadaan sekali pun.
“Walau ada ahli keluarga menasihatkan saya melepaskan beban dengan menghantar semua anak ke rumah kebajikan, namun saya tidak sanggup. Biarlah susah senang kami bersama,” katanya ketika ditemui,
Suyati yang kini menanggung empat cahaya mata istimewanya itu dengan hasil pendapatan mengumpul dan menjual barangan kitar semula di kediaman sewanya di Blok T3, Flat Temenggong di sini.
Menurutnya, dia yang berasal dari Pulau Jawa, Indonesia itu, penderitaan dan cabaran yang dialami sebagai ketua keluarga bukan sedikit kerana perlu menyara dan memberi penjagaan empat anak yang kurang upaya.
“Akibat mengalami penyakit itu, tulang belakang anak-anak saya tidak normal hingga membantutkan tumbesaran mereka. Nurain sebenarnya sudah berumur 15 tahun tetapi akibat penyakit itu ketinggiannya seperti murid tahun enam.
“Begitu juga dengan Nurisah kerana tulang belakang bahunya di bahagian kiri lebih besar berbanding bahagian kanan. Manakala Nuraini dan Mohamad Safaruddin tidak dapat bergerak dengan baik kerana mudah mengalami kekejangan,” katanya.
Suyati berkata, semua anaknya menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, Kuala Lumpur sejak empat tahun lalu dan tiga daripadanya disaran supaya menjalani pembedahan pada Januari depan.
Katanya, dianggarkan kos pembedahan dan rawatan keempat-empat anaknya mencecah RM100,000 menyebabkan dia kini buntu memikirkan masa depan mereka.
“Sebagai pengutip barangan kitar semula, pendapatan saya tidak tetap iaitu antara RM70 hingga RM80 seminggu. Akibat kesempitan wang, saya hanya mampu menyediakan makanan seperti bubur nasi dan nasi goreng untuk anak-anak bagi menjimatkan kos.
“Tidak mungkin saya dapat membiayai kos pembedahan berkenaan dan keadaan itu menyebabkan saya bimbang dengan masa depan mereka kerana sekiranya keadaan tulang belakang mereka semakin teruk kemungkinan mereka lebih sukar bergerak,” katanya.
Suyati berkata, dia bersyukur dengan bantuan kewangan yang diperoleh daripada bekas majikan arwah suaminya iaitu Majlis Perbandaran Kulaijaya (MPKu) yang menyumbang RM20,000 bagi meringankan beban keluarganya selain sejumlah bantuan disalurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulaijaya, Sekolah Agama (SA) Bandar Kulai 1 dan Persatuan Orang Minang.
Menurutnya, keluarganya juga menerima bantuan bulanan RM600 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) selain pencen suaminya RM229 sebulan.
“Tetapi bantuan bulanan itu hanya cukup untuk menampung kos rawatan serta pengangkutan dari Kulaijaya ke HUKM juga mencecah RM400 setiap kali mendapatkan rawatan di situ.
“Sebagai ibu, tidak terlintas di fikiran saya untuk meninggalkan mereka sebaliknya saya bersyukur kerana anak-anak saya masih boleh berjalan dan bersekolah seperti biasa,” katanya.
Orang ramai yang berhajat untuk membantu meringan beban keluarga berkenaan boleh menghubungi Suyati di 019-7997771.
0 Response to "Tunai janji jaga anak"
Post a Comment