Jasin: “Saya nekad menggigit tangan kirinya menyebabkan dia menolak saya hingga terjatuh di bahu jalan,” kata Umi Kalthom Abu, yang cuba melawan dua peragut dalam kejadian di Kampung Serkam Timur, Merlimau, pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Umi Kalthom, 62, yang menaiki basikal bermotor dihampiri dua lelaki bermotosikal ketika dalam perjalanan pulang dari kedai runcit berdekatan.
Umi Kalthom berkata, pembonceng motosikal terbabit cuba memegang basikalnya sebelum dia menepis tangan penjenayah itu.
Katanya, penjenayah itu kemudian memegang tangan kanannya menyebabkan dia nekad menggigit tangan kiri lelaki terbabit.
“Dia menolak saya hingga terjatuh di bahu jalan. Saya sangka mereka akan melarikan diri, tetapi pembonceng turun dan merentap gelang tangan emas saya,” katanya yang ditemui di rumahnya, semalam.
Menurutnya, penjenayah itu kemudian melarikan diri dan pada masa sama dia menjerit sekuat hati meminta bantuan.
Umi Kalthom berkata, seorang jiran bertindak mengejar penjenayah itu dengan kereta namun gagal.
“Saya bernasib baik kerana penjenayah itu tidak menggunakan senjata tajam ketika melakukan perbuatan itu.
“Saya mengalami kecederaan di pergelangan tangan kiri dan lutut kanan akibat terjatuh dan bergelut dengan penjenayah itu,” katanya.
Beliau berkata, akibat kejadian, dia kerugian lebih RM8,000 selepas gelang tangan emas dilarikan peragut terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu pihak polis dalam siasatan,” katanya.
0 Response to "‘Saya gigit, dia tolak’"
Post a Comment