Georgetown: Seorang pengawal keselamatan maut apabila tertembak diri sendiri ketika sedang mengosongkan pump gun di sebuah pejabat keselamatan di Bayan Baru, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pada jam 8.30 malam itu, mangsa M Pusbanathan, 52, maut di tempat kejadian akibat tembakan terkena bahagian dada kanannya.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner PR Gunarajan berkata, sebelum kejadian mangsa baru selesai tugasan mengawal keselamatan di sebuah bank di Sungai Dua.
"Sebelum itu mangsa sudah mengeluarkan empat butir peluru di tempat kerjanya manakala sebutir lagi dipercayai terlekat pada senjata api berkenaan.
"Mangsa kemudiannya pulang ke pejabat untuk mengeluarkan baki peluru yang masih tersangkut, namun malangnya dia terlepas tembakan lalu mengenai dada kanannya.
"Siasatan mendapati mangsa mati dalam keadaan terduduk di atas kerusi dan ketika kejadian ada seorang lagi rakan sekerjanya sedang mengosongkan senjata api untuk disimpan di dalam peti keselamatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata, berikutan kejadian itu, rakan mangsa yang berada di pejabat berkenaan ditahan untuk disoal siasat.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinan g(HPP) untuk bedah siasat.
0 Response to "Pengawal maut tertembak diri sendiri"
Post a Comment