Melaka: Seramai 16 individu termasuk dua bayi dan seorang kanak-kanak terperangkap kira-kira 40 minit dalam lif di Hospital Melaka di sini, tadi.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu, terdapat 13 orang dewasa termasuk dua warga emas bersama dua bayi dan seorang kanak-kanak di dalam lif berkenaan yang terhenti diantara tingkat dua dan tingkat tiga hospital terbabit.
Kejadian mengakibatkan, tiga daripada mereka termasuk dua wanita sesak nafas manakala, kedua-dua bayi berkenaan menangis akibat kepanasan sebelum semua mereka berjaya dibawa keluar dengan bantuan orang ramai.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh Pegawai Bomba Kanan II Hairulnizam Ridhuan berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 2.12 petang.
"Seramai enam anggota bersama sebuah jentera ke lokasi dan tiba jam 2.25 petang, namun sebaik tiba semua mangsa sudah dikeluarkan kira-kira lima minit sebelum itu.
"Mangsa dipercayai berjaya keluar selepas seorang anggota keselamatan mengumpil pintu lif menggunakan batang kayu penyapu," katanya di sini.
0 Response to "16 termasuk dua bayi terperangkap"
Post a Comment