Warga Emas 62 Tahun Ditahan, Suka Curi Kancil & Mini Cooper



Kuala Lumpur – Seorang warga emas dipercayai terbabit dalam kegiatan curi kenderaan sejak dua bulan lalu tumpas selepas dia ditahan di kawasan perumahan di Pantai Dalam, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, suspek berusia 62 tahun diberkas selepas disyaki mencuri 13 kereta jenis Perodua Kancil dan Mini Cooper.
“Siasatan polis mendapati suspek mempunyai 13 rekod lampau bersabit jenayah curi kenderaan dan dadah. Yang terkini dia baru sahaja dibebaskan pada bulan Julai lalu sebelum kembali melakukan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini, hari ini.
Muhammad Azlee berkata, suspek dipercayai bergerak secara solo dengan menggunakan modus operandi mencuri kenderaan yang diletakkan di tepi jalan di kawasan perumahan sebelum mengumpil pintu kenderaan dan menghidupkan enjin kereta melalui kunci pendua.
Beliau berkata, dengan penahanan suspek polis berjaya menyelesaikan 13 kes curi kenderaan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan sejak dua bulan lalu.
myMetro Online

0 Response to "Warga Emas 62 Tahun Ditahan, Suka Curi Kancil & Mini Cooper"