Bakal ibu maut bersama kandungan kembar



Jempol: Seorang wanita sarat mengandung tujuh bulan maut selepas kereta dipandunya terbabas di jalan besar FELDA Palong 14,15 dan 16, dekat sini, jam 5.55 petang semalam.



Difahamkan ketika kejadian mangsa Siti Nurnazira Amran, 23, dari FELDA Palong 13, yang mengandung anak kembar dua dalam perjalanan pulang dari pekan Bahau ke rumah selepas membeli barang keperluan untuk perkahwinan abang kandungnya bulan depan.


Ketika tiba di tempat kejadian, kereta Proton Wira dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan.


Menurut sumber, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Palong 9 (KKP9), akibat kecederaan parah di badan dan kandungannya juga gagal diselamatkan.


Begitupun, kata sumber anak lelaki mangsa berusia sembilan bulan dan bakal kakak iparnya yang turut berada di dalam kereta hanya cedera ringan.


"Mayat Siti Nurnazira dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat manakala dua mangsa lagi dirawat sebagai pesakit luar di KKP9.


Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias dihubungi mengesahkan kejadian dan punca nahas sedang disiasat. - METRO

0 Response to "Bakal ibu maut bersama kandungan kembar"