Samseng pukul remaja lelaki kini ditahan reman

Foto

Lagak seorang samseng yang memukul seorang remaja lelaki dan menendang  sebelum dirakam menggunakan telefon bimbit akhirnya menyebabkan dia diberkas polis.

Remaja berusia belasan tahun itu ditahan polis kelmarin selepas rakaman video perbuatannya tersebar di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Berdasarkan rakaman berdurasi dua minit dan 19 saat itu, video bertajuk ‘Budak kena pukul di Muar’ itu berlaku di tepi kebun kelapa sawit, di Air Hitam, Bakri, di sini.

Lebih mengaibkan, semua aksi tendang, tumbuk kepala dan memukul menggunakan kayu hingga patah itu dirakam rakan suspek menggunakan telefon bimbit.

Rakaman menunjukkan terdapat enam remaja menjerit ke arah mangsa yang hanya terduduk dengan seorang daripada mereka menendang tangan dan kepala mangsa serta dipukul dengan kayu.

Mangsa yang dilihat menahan pukulan menggunakan tangan turut kelihatan kesakitan dipercayai akibat kecederaan siku tangannya.

Video itu kemudian menunjukkan remaja yang menyerang mangsa mengarahkan mangsa meminta maaf pada mereka. Bagaimanapun suspek menarik semula tangan apabila mangsa menghulurkan salam sebelum dia diludah.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada keluarga mangsa pada 25 Ogos lalu selain turut menerima satu lagi laporan jam 10 malam kelmarin.
“Hasil siasatan awal, kami dapati kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang pada 14 Ogos lalu di tepi sebuah kebun sawit di Air Hitam.

“Dalam kejadian itu, mangsa berusia 15 tahun ditendang di kepala dan badan oleh dua remaja lain sebelum seorang remaja terbabit memukul mangsa menggunakan sebatang kayu, namun ditepis mangsa hingga tangannya cedera,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, semalam.

Menurutnya, polis percaya pada mulanya video berkenaan hanya dikongsi beberapa rakan, namun ia mula tersebar apabila rakan sekolah lain memuat naiknya di YouTube hingga menjadi viral di media sosial.

“Bertindak atas laporan polis yang dibuat itu, kami menahan empat remaja berusia 13, 14 dan 15 tahun dalam beberapa tangkapan di rumah mereka di sekitar Air Hitam, bermula petang semalam (kelmarin).

“Hasil siasatan seorang suspek menghubungi mangsa untuk berjumpa di kawasan berkenaan. Bagaimanapun mangsa terus ditolak hingga terduduk sebelum remaja lain memukulnya,” katanya.

Menurutnya, seorang remaja ditahan itu menunjukkan tempat di mana kayu sepanjang kira-kira satu meter itu dibuang dan membawanya ke IPD Muar bagi membantu siasatan.

Katanya, semua suspek kini ditahan reman.


Sumber: Hmetro