Hujan renyai iringi pengebumian Ketua Pramugari

Photo: Penyanyi, Hattan yang merupakan sepupu Dora Shahilla turut tidak dapat menahan kesedihan sewaktu menyambut ketibaan jenazah Ketua Pramugari Pesawat MH17 itu

Jenazah Ketua Pramugari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Dora Shahila Kassim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Cuaca hujan renyai turut mengiringi majlis pengebumian itu yang dihadiri lebih daripada 500 orang yang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, kenalan rapat, jiran tetangga dan teman sekerja Allahyarham. 

Malah, anak Allahyarham, Nur Diyana Yazeera Yazli, 15, dan sepupu Dora Shahila, penyanyi Hattan turut sama berada di sana bagi memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah dikebumikan. 

Abang kepada Dora Shahila, Don Shahidan berkata, dia sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana berjaya membawa pulang jenazah adiknya itu serta beberapa lagi mangsa nahas udara itu.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana bagi saya apa yang penting adalah jenazah adik saya ini dapat dibawa pulang untuk dikebumikan and itulah yang sangat mustahak bagi keluarga kami di saat ini," katanya.

Jenazah Allahyarham sebelum itu dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail di sini, pada jam 12.50 tengah hari untuk disembahyangkan selepas tiba dari Amsterdam melalui penerbangan khas pesawat Penerbangan Malaysia Boeing 747 di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), jam 9.50 pagi tadi. 

Upacara pengebumian itu turut dibantu oleh 17 pengiring daripada Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan lapan pengusung keranda daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Al fatihah.

1 Response to "Hujan renyai iringi pengebumian Ketua Pramugari"

Anonymous said...

Pena Merah...nak betulkan statement tu...lapan orang pengusung jenazah tue juga anggota penguatkuasa DBKL dalam berpakaian istiadat. Dan terima kasih atas makluman yang diberikan..