Badan kanak kanak perempuan melecur tumpah tomyam


Foto
Menyedihkan apabila dua kanak-kanak perempuan melecur di badan, muka, kepala dan kaki selepas mangkuk besar berisi tomyam panas terjatuh dari atas meja dan menyimbah mereka, Isnin lalu.

Kejadian berlaku jam 10 pagi di sebuah tadika, dekat Jalan Telipot, di sini ketika kedua-duanya yang berusia dua dan tiga tahun menunggu di dewan makan untuk menikmati hidangan pagi.

Difahamkan Nur Afiqah Mazran, 2, berdiri tepi meja makan sebelum rakannya yang berusia tiga tahun menarik mangkuk berkenaan yang kemudiannya secara tiba-tiba menyimbah mereka.

Akibatnya, dua kanak-kanak terbabit melecur 20 hingga 50 peratus dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Menceritakan kejadian itu, ibu Nur Afiqah, Noradillah Ismail, 35, berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya di Kedai Mulong kerana sedang berpantang selepas bersalin anak ketiga.

“Saya mengetahui kejadian berlaku selepas suami Mazran Harun menghubungi memaklumkan anak kami cedera.

“Dia memberitahu mengetahui insiden itu selepas guru tadika Nur Afiqah menelefonnya beberapa minit selepas kejadian.

“Kami segera ke HRPZ II, namun anak dirujuk ke Unit Kebakaran HUSM selepas pada malam kejadian, kepala, muka, kaki kiri, tangan kiri dan badan anaknya yang kemerah-merahan semakin teruk,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Bagaimanapun Noradillah berkata, enggan membesar-besarkan perkara itu dan tidak menganggap ia kecuaian pengurusan tadika berikutan kecederaan dialami anaknya akibat perbuatan Nur Afiqah serta rakannya sendiri yang tidak diketahui namanya.

Katanya, Nur Afiqah juga dibenarkan keluar daripada hospital selepas dua hari menerima rawatan dan kini hanya berehat di rumah.

“Keadaannya juga sudah bertambah baik walaupun dia kelihatan seperti trauma apabila sering terkejut ketika tidur dan enggan lagi dihantar ke tadika,” katanya yang tidak berhasrat mengambil tindakan ke atas pengusaha tadika berkenaan.