Senjata Laser Baru China Tembak Hangus Drone AS



BEIJING – Saintis China dilaporkan berjaya membangunkan sejenis senjata canggih yang mampu menembak laser secara paling tepat sehingga jarak 2 kilometer termasuk ke atas pesawat kecil tanpa juruterbang atau drone milik tentera Amerika Syarikat (AS).

Agensi berita rasmi Xinhua baru-baru ini melaporkan, sistem teknologi terbaharu itu dibangunkan Akademi Kejuruteraan Fizik China serta berupaya menembak jatuh drone seawal 5 saat sebaik pesawat saiz ultra mini tersebut dikesan dan terus dikunci sasaran.
Xinhua turut menunjukkan beberapa imej bangkai drone hangus terbakar hasil tembakan senjata rahsia China itu serta dikatakan efektif jika pesawat peninjau tersebut terbang pada ketinggian 500 meter dari bumi dan terbang dalam kelajuan 180 kilometer sejam.
Yi Jinsong, pengurus Jiuyuan Hi-Tech Equipment Corp., salah sebuah firma di bawah akademi itu berkata, senjata tersebut boleh dipasang pada apa-apa jenis kenderaan dan ia berjaya menembak jatuh lebih 30 buah drone dengan kadar kejayaan 100 peratus.
“Biasanya tugas memintas drone tentera musuh atau pengganas dilakukan askar penembak tepat di darat atau helikopter tentera udara namun ia kurang berkesan malah sering berlaku kesilapan sekali gus membazirkan wang dan tenaga,” kata Jinsong.  - AFP / CN

0 Response to "Senjata Laser Baru China Tembak Hangus Drone AS"