Seremban: Selepas hampir lima bulan kes pengabaian remaja kurang upaya (OKU) Muhammad Firdaus Dullah, 15, terbongkar, akhirnya ibunya yang mengaku bersalah dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM10,000.
Lolanopita Sadi, 40, yang kelihatan tenang mendengar keputusan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini dihukum selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas dua pertuduhan mengikut Akta Kanak-kanak 2001.
Hakim Kamaruddin Kamsun menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dan denda RM6,000 bagi pertuduhan pertama dan penjara tiga bulan dan denda RM4,000 bagi pertuduhan kedua selepas menerima pengakuan bersalahnya, namun hukuman penjara ditetapkan berjalan serentak bermula semalam.
Lolanopita kali pertama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada 27 Jun lalu, tidak mengaku bersalah namun memilih menukar pengakuannya pada 5 November lalu ketika hari pertama perbicaraan kes itu.
Mengikut pertuduhan pertama, ibu kepada dua anak itu didakwa sengaja mengabaikan Muhammad Firdaus dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami cedera fizikal atau emosi di sebuah bilik di rumah mereka di Blok 15-1-9 Flat Semarak, Nilai antara Januari hingga jam 2.30 pagi 21 Jun.
Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua pula, wanita itu berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 33c akta sama kerana sengaja membiarkan anaknya tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan di tempat sama pada jam 2.30 pagi, 21 Jun.
Kes dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Negeri Sembilan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala Lolanopita pula diwakili peguam Hanif Hassan.
0 Response to "Lolanopita ke penjara"
Post a Comment