Gurun: Kegelisahan seorang ibu apabila anak lelakinya tidak pulang ke rumah dari tempat kerja seperti kebiasaan terjawab apabila mangsa meninggal dunia kerana terbabit dalam kemalangan di simpang tiga Jalan Guar Nenas, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2.30 petang, pembantu kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lima, Jeniang Basyirun Hassan, 30, maut apabila motosikal ditungganginya dipercayai terbabas dan tercampak ke atas jalan sebelum dia dirempuh lori tanah yang kebetulan datang dari arah belakang.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang masih bujang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Kampung Tok Kau, Guar Chempedak, dekat sini.
Ibu mangsa, Halijah Kassim, 60, berkata, dia berasa terkilan kerana tidak sempat menatap wajah anak kedua daripada tiga beradik itu buat kali terakhir memandangkan arwah keluar rumah untuk ke tempat kerja lebih awal berbanding kebiasaannya.
“Saya terdengar dia bangun seawal jam 5.30 pagi tadi (semalam) berbanding hari biasa kerana dia akan bangun sekitar jam 6 pagi, namun saya tidak mengesyaki apa-apa.
“Sejurus selesai menunaikan solat Subuh jam 6 pagi, saya mendapati dia sudah tiada di rumah dan kakak saya memberitahu bahawa anak saya itu sudah pergi ke tempat kerja,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.
“Saya mula gelisah kerana kebiasaannya dia akan pulang ke rumah paling lewat pada jam 2.30 petang. Ternyata kegelisahan saya bersebab sebaik saja mendapat panggilan telefon daripada majikannya memaklumkan bahawa anak saya terbabit dalam kemalangan jalan raya.
“Hanya Allah SWT yang tahu perasaan saya ketika itu, namun saya tidak mampu berbuat apa-apa selain menerima dugaan ini dengan penuh reda,” katanya.
Seorang saksi yang berniaga di gerai makan berhampiran, Nur Syazwana Marzuki, 17, berkata, sebelum kejadian dia duduk di dalam kedainya dan dikejutkan dengan bunyi motosikal terbalik dari arah simpang tiga berkenaan.
Menurutnya, dia kemudian terdengar suara kanak-kanak lelaki yang kebetulan berada di tepi jalan menjerit dengan kuat sambil memberitahu bahawa ada orang dilanggar lori.
“Saya lantas berlari keluar untuk melihat kejadian dan ternampak lori tanah melintasi hadapan kedai dipercayai meninggalkan tempat kejadian, manakala penunggang motosikal terbaring di tengah jalan dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.
Jurucakap polis berkata, pihaknya menjalankan siasatan berhubung kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk bedah siasat.
0 Response to "Kegelisahan ibu terjawab"
Post a Comment