Hudud : Gilotin, Jadi Pilihan Alat Hukuman Di Kelantan



KOTA BHARU – Gilotin, peralatan yang digunakan untuk memotong kepala Raja Perancis Louis XVI dan permaisurinya Marie Antoinette ketika zaman Revolusi Perancis 1793 dijangka akan digunakan di Kelantan.

Jawatankuasa Teknikal Hudud negeri itu dikatakan menghadapi kesukaran untuk mencari kaedah paling sesuai untuk memotong anggota badan seseorang yang disabitkan kesalahan mencuri dan mini gilotin ini menjadi pilihan.
Pengerusinya, Datuk Mohd Amar berkata, beliau mungkin akan mencadangkan kepada ahli panel agar menggunakan mesin yang tidak memerlukan pakar bedah mengendalikannya.
Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, jawatankuasa itu masih memikirkan idea walaupun menerima reaksi negatif untuk mendapatkan pakar bedah bagi memotong kaki dan tangan pesalah.
“Pertamanya, pakar bedah mesti bersetuju untuk menjalankan prosedur tetapi itu mungkin akan membangkitkan kemarahan Persatuan Perubatan Malaysia kerana ia melanggar ‘Hippocratic Oath’ (sumpahan untuk menegakkan piawaian profesional dan mengamal perubatan secara etika).
Mohd Amar berkata, alat pemenggal kepala itu lebih cepat berkesan dan hanya memerlukan seorang sahaja untuk menarik tuil, dua orang memegang pesalah dan doktor untuk memastikan orang yang dihukum itu tidak mengalami sebarang kejutan.
Malah hakim menjatuhkan hukuman itu juga perlu hadir.
“Saya akan membuat kajian yang menyeluruh kepada kaedah yang digunakan semasa Revolusi Perancis pada abad ke-18 apabila gilotin digunakan untuk memenggal kepala sebagai hukuman mati,” katanya.
Ironinya, alat pemenggal kepala Perancis itu yang diperkenalkan berabad-abad ini telah dihapuskan kerana hukuman yang tidak berperikemanusian.
Peralatan berat itu digunakan sempena nama Dr Joseph Ignace Guillotine yang memperkenalkannya biarpun peralatan itu bukan hasil ciptaannya.
Kali pertama alat pemenggal kepala itu digunakan di Place de Greve di Paris ke atas perompak bersenjata Jacques Nicolas Pelletier pada tahun 1792.
Manakala orang terakhir dijatuhkan hukuman menggunakan alat ini ialah Hamida Djandoubi pada tahun 1977 yang dikaitkan dengan pembunuhan.
Lelaki Tunisia itu didapati bersalah membunuh bekas kekasihnya, Elisabeth Bousquet.
Bagaimana pun Perancis memansuhkan hukuman mati pada tahun 1981.
Mohd Amar berkata kaedah kemungkinan untuk menjatuhkan hukuman termasuk memotong anggota badan pesalah di bawah Kanun Jenayah Syariah II 1993, telah dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan baru-baru ini.
Beliau yang tidak hadir pada mesyuarat itu kerana menunaikan ibadah Haji berkata, antara yang hadir pada mesyuarat itu ialah lapan orang mufti dan beberapa orang doktor.
“Saya akan hadir pada mesyuarat seterusnya dan memberi cadangan mengenai alat pemenggal kepala mini ini dengan lebih terperinci,” katanya.
Kelantan bercadang membentangkan Rang Undang-undang Persendirian (hukum hudud) di Parlimen bagi mendapatkan kebenaran melaksanakannya hukum itu pada tahun depan.
Dalam reaksi segera, Timbalan Pengerusi MCA Kelantan Tan Ken Ten berkata, rancangan untuk memperkenalkan alat pemenggal kepala mini itu sebagai tidak masuk akal.
“Saya tidak tahu apa lagi yang mereka akan timbul selepas ini.
“Mereka menjadi kreatif dengan idea-idea sehingga timbul untuk menjalankan Hudud di negeri ini,” katanya.
“Seluruh kisah ini seperti jenaka. Dengan menggunakan alat dari abad ke-18, mereka akan menjadi bahan ketawa seluruh dunia,” tambah Tan. – mStar Online

0 Response to "Hudud : Gilotin, Jadi Pilihan Alat Hukuman Di Kelantan"