Ajal Empat Beranak



Kuala Lipis: Empat beranak maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 8, Jalan Kuala Lipis-Merapoh berhampiran Kampung Kubang Rusa, dekat sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu menyebabkan mangsa, pemandu kereta Produa Myvi, Ahmad Nor Sallahuddin Ahmad Zamberi, 29, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Manakala isterinya, Azian Ismail,32, dan dua anak mereka, Ahmad Abinubli ,3, serta Airis Auta yang berusia satu tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian berlaku ketika empat beranak itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kelantan.

"Namun sebaik tiba ditempat kejadian,Ahmad Nor Sallahuddin secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

“Akibatnya, kereta berkenaan bertembung dengan sebuah bas ekspres yang datang dari arah Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian segera menghubungi pihak berkuasa sebelum anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Kuala Lipis tiba bagi mengeluarkan semua mangsa itu," katanya ketika dihubungi, di sini.

0 Response to "Ajal Empat Beranak"