Padah !! Bayi 10 Bulan Maut Tertelan Skru 2 Sentimeter



Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan, maut selepas bertarung nyawa selama 6 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar kelmarin akibat tertelan skru.

Mangsa, Muhamad Hafif Khairi Abdul Nasser dilaporkan koma semenjak hari pertama kejadian telah disahkan meninggal dunia pada 5.52 petang kelmarin.

Mangsa yang merupakan anak bongsu dari empat beradik sebelum itu dikatakan mengalami kesesakan nafas di rumahnya.

"Ketika kejadian, saya sibuk mengemas ruang tamu rumah, manakala Hafif sedang bermain di atas kerusi roda berhampiran sebuah meja tulis," kata ibunya, Morshida Abdullah, 39.

“Bagaimanapun, apabila saya berpaling, saya melihat keadaan arwah seperti sukar bernafas seolah-olah sedang tercekik sesuatu.

“Saya kemudian ternampak laci meja tulis yang terbuka sebelum saya mengesyaki arwah mengambil sesuatu dari dalam laci lalu dimasukkan ke dalam mulut,” katanya.

Morshida cuba mengeluarkan objek dari mulut mangsa dengan cara menepuk belakang badan serta memasukkan jari ke dalam mulut mangsa namun, gagal.

Panik dengan kejadian itu, ibu mangsa meminta pertolongan ahli keluarga berdekatan untuk membawa mangsa ke Hospital Sik.

Setelah diperiksa, doktor mengesahkan mangsa tertelan satu skru sepanjang dua sentimeter dan objek itu tersekat di dalam kerongkongnya. Doktor berjaya mengeluarkan objek tersebut pada hari yang sama.

Malangnya, keadaan mangsa tidak pulih, malah terus koma menyebabkan doktor terpaksa memindahkan mangsa ke HSB untuk rawatan lanjut.

0 Response to "Padah !! Bayi 10 Bulan Maut Tertelan Skru 2 Sentimeter"