Anda Solat? Hati Anda Baik? Bersih?

Didalam Al-Qur'an, Allah SWT berfirman bahawa solat yang dikerjakan dengan tekun dan sempurna dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.

solat taubat

"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada Al-Qur'an dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." Surah Al-Ankabut: 45

Seorang Muslim kena tahu, untuk apa dia solat? Atas tujuan apa? Kerana apa?

Ramai orang Islam hari ini mengambil kewajipan solat secara remeh-temeh kerana mereka tidak menyedari kepentingan solat dalam hidup mereka.

Ada juga yang solat lima waktu sehari semalam, tapi solatnya langsung tidak mencegahnya daripada perbuatan keji dan mungkar.

Solat yang mereka kerjakan bagaikan satu ritual sahaja, tiada roh.

Cuba kita bayangkan, bagaimana solat itu hendak mencegah kita daripada perbuatan keji dan mungkar, kalau kita sendiri tidak tahu makna kalimah yang diungkapkan semasa solat.

Sudahlah begitu, solat pula laju, sangat laju macam larian Usain Bolt. Itu belum dikira lagi perbuatan sengaja melewat-lewatkan solat dengan sengaja.

Kalau macam tu gayanya, macam mana solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar? Makin serabut adalah!

Bangkitkan iman yang lesu

Bagi kita yang sedar perkara ini, seharusnya perkara pertama yang kita kena lakukan adalah membangkitkan kembali iman yang lesu dalam hati masyarakat.

Sedarkan semula atas tujuan apa kita dihidupkan atas muka bumi ini, atas tujuan apa kita solat?

Iman masyarakat kita pada hari ini berada pada tahap yang sangat lesu. Faktor yang menggerakkan kehidupan mereka adalah materialistik semata-mata. Jauh atas faktor keimanan kepada Allah.

Kehidupan masyarakat sekarang hanya berkiblatkan wang sahaja. Tiada lain. Janji ada wang, halal haram diketepikan!

Mungkin sebab itulah ramai dikalangan orang Islam lebih rela untuk bekerja di tempat yang tidak membenarkan solat atau ruang waktu solat yang sangat terhad.

Selain itu, sedarkan masyarakat dengan azab neraka yang akan ditanggung kalau tidak solat, kita juga haruslah menampakkan kepada mereka, apakah kesan sosial yang akan ditanggung kalau tidak menjaga tiang agama.

Mahukah kita melihat keturunan kita berzina? Mahukah kita lihat diri kita menceburkan diri dalam dosa arak? Mahukah kita lihat anak-anak gadis kita diusung kesana kemari?

Kesan dan akibat tidak solat bukan sahaja ditanggung oleh diri kita sendiri, tetapi juga ditanggung oleh masyarakat keseluruhannya.

Sedarlah bahawa masyarakat yang jauh terpesong dari perintah Allah SWT, sesungguhnya sangat dekat dengan kebinasaan.

Ada juga yang memberi alasan, kalau tak solat pun tak apa, janji hati baik..

Soalnya, adakah dia yakin hatinya baik?

Lupakah mereka pada hadis Nabi SAW ini?

Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Kalau baik daging itu naka baiklah manusia. Kalau ia rosak, maka rosaklah manusia. Ketahuilah itulah hati (roh)." Riwayat Bukhari dan Muslim.

Anda solat? Hati anda baik? Bersih?

Wallahualam..

0 Response to "Anda Solat? Hati Anda Baik? Bersih?"