Apabila tiba masa dan ketikanya, jauh di lubuk hati si Adam itu akan terdetik jua. Mahu berteman, mahu berpasangan. Lalu proses mencari mula dipandang serius.
Di samping apa jua yang dilakukan pada ketika itu, belajar atau bekerja, soal siapa yang akan menjadi teman sehidup semati tetap akan difikir jua.
Di samping apa jua yang dilakukan pada ketika itu, belajar atau bekerja, soal siapa yang akan menjadi teman sehidup semati tetap akan difikir jua.
Biasa berlaku, meskipun calon sudah ada, namun keberanian masih sukar diraih seteguhnya. Masih ada ragu-ragu dan was-was. Mahu teruskan dengan yang ada ataupun terus mencari kalau-kalau masih ada yang lebih baik dari si dia.
Betul, sebelum berkahwin, sesiapa jua bebas memilih calonnya.
Lelaki bebas memilih, perempuan juga bebas memilih. Bahkan bagi perempuan, inilah saat dan ketika terbaik untuk demand mereka. Mahu yang bagaimana, mahu memilih siapa dan mahu meletakkan berapa maharnya. Itu hak dan kebebasan mereka.
Namun dalam pada kita menggunakan hak kita untuk memilih, jangan pula sampai hawa nafsu yang menjadi pemandu arah.
MAHU YANG SEMPURNA
Ini tabiat manusia.
Pada sekeping papan putih di hadapannya, jika wujud walau setitik dakwat hitam, maka itulah jua yang akan dipandangnya. Dakwat hitam itu meskipun kecil, namun mendatangkan rasa tidak selesa kerana papan yang putih tidak lagi sempurna putihnya.
Jika dinisbahkan dalam hal mencari calon, meskipun dari segi agamanya baik, keturunannya baik, fizikalnya baik, namun jika ada sedikit kekurangan pada warna kulit atau bentuk hidung contohnya, terus dirasa tawar dan tidak selesa.
Hendak mengambil keputusan bahawa itulah calonnya, dirasa cukup sukar. Risau ketidaksempurnaan yang mendatangkan rasa tidak selesa tadi tidak akan menjamin bahagia selepas berumahtangga.
KENAPA MAHU YANG SEMPURNA?
Sebenarnya, dalam kita melayan tabiat diri yang gemarkan sesuatu yang sempurna itu, kita wajar berhenti seketika dan bertanya ; kenapa aku mahu yang sempurna?
Sudah tentu, apa yang kita mahu itu mestilah sesuatu yang mendatangkan faedah besar buat kita.
Adakah kerana sempurna itu penjamin bahagia?
Atau adakah sempurna itu syarat bebasnya rumahtangga dari diduga?
Atau adakah sempurna itu pasti akan menjadikan suami isteri romantik sepanjang masa?
Atau adakah sempurna itu kita mahukan sangat agar kita dipandang mulia oleh mereka-mereka sekeliling kita?
Selesaikan dahulu isu ‘kenapa’ ini dengan neraca Iman, bukan neraca nafsu semata-mata.
Lalu di akhirnya, kita akan dapati bahawa ‘sempurna’ itu rupanya terlalu banyak ditimbang dengan neraca nafsu dan kehendak diri semata-mata.
PENANDA ARAS
Nabi s.a.w diutus kepada kita, bukan hanya untuk mengajar cara solat dan cara puasa, tetapi untuk mengajar kita konsep sebuah agama dalam menjalani kehidupan dunia. Sudah tentulah soal mencari jodoh turut sama dititikberatkan oleh Baginda s.a.w.
Dengan tidak menafikan hak kita untuk mencari dan memilih, Nabi s.a.w menggariskan beberapa panduan kepada kita, antaranya :
1- Dinikahi wanita kerana empat perkara ; kecantikannya, keturunannya, kekayaannya dan agamanya. Pilihlah dalam hal agamanya, pasti akan beruntung kedua tanganmu.
2- Wanita adalah hiasan dunia, sebaik-baik hiasan adalah wanita solehah.
Penanda aras bagi kita sebenarnya mudah sahaja. Jika pencarian kita didasarkan kepada apa yang disebutkan oleh Nabi s.a.w sebagai petunjuk utama, maka pencarian kita adalah dalam neraca iman. Sebaliknya jika pencarian kita membelakangkan apa yang ditunjuk oleh Nabi s.a.w sebagai asas dan dasarnya, maka jelas sekali pencarian kita hanyalah atas neraca nafsu semata-mata.
Jika demikian rugilah kita, kerana kemungkinan untuk kita mendapat sebaik-baik hiasan dan beruntungnya kita dalam sebuah kehidupan adalah amat tipis dan kecil.
KITA MAHU YANG SEMPURNA SEBENARNYA KERANA..
Kerana kita mahu jiwa kita tenang dengannya. Itu sahaja.
Lelaki, apa yang paling dia mahukan dalam hidup adalah ketenangan jiwanya tatkala didampingi oleh seorang wanita yang halal baginya. Tempat dia berkongsi kasih dan sayang. Tempat dia bermanja dan meraih ketenteraman jiwa. Tempat dia menghilangkan segala kekusutan yang bertamu saban waktu di ruang dada.
Silapnya, lelaki sering beranggapan bahawa kesempurnaan fizikal dan kecantikan itulah yang menjadikan seseorang wanita sempurna.
Mereka sering beranggapan bahawa senyuman seorang wanita secantik bidadari itulah yang menjamin hidupnya menjadi sempurna. Pendek kata, jika dapat wanita yang cantik sempurna sebagai isteri, maka itulah erti sebenar bahagia.
Sedang mereka lupa, berapa ramai dari kaum mereka yang beroleh isteri secantik ratu, namun rumahtangganya hanya bertahan beberapa purnama sahaja? Berapa ramai pula yang terpaksa makan hati dengan isteri yang cantik luaran tetapi hodoh dalaman? Degil dan keras kepala. Bila kita tiada di sisinya, dia curang kepada kita. Dia mengkhianati amanah dan maruah kita. Sayangnya, hakikat ini ramai yang alpa dan lupa.
Lalu di kala itu, cantik tidak lagi mendatangkan rasa sempurna.
Jika tiada ketenangan di jiwa, usah bicara soal bahagia.
PELENGKAP RASA SEMPURNA ADALAH WANITA SOLEHAH
Dia mungkin tiada kelebihan dari segi rupa, namun dia mampu memberi kita rasa sempurna.
Dialah wanita solehah.
Mungkin dia bukan cerminan watak-watak si gadis dalam pelbagai novel dan filem cinta. Dia mungkin tidak sehebat yang digambarkan dalam banyak cerita. Dia mungkin dilihat luarannya cuma biasa-biasa.
Dia mungkin bukan pelajar jurusan agama. Dia mungkin bukan seorang ustazah. Dia mungkin dari jurusan engineering, biotechnology, medic dan sebagainya.
Tetapi keistimewaannya adalah pada kemampuan untuk membahagiakan kita.
Kemampuan untuk melahirkan rasa tenang tenteram di dalam jiwa.
Jangan kita lupa kepada ayat Allah dalam surah Ar-Rum. Allah menyebut bahawa antara tanda kebesaran-Nya, Dia menjadikan wanita bagi lelaki sebagai tempat beroleh tenang dan tenteram.
Percayalah, si cantik bermulut laser berhati batu bukan wanita yang digambarkan oleh Allah sebagai asbab bahagianya jiwa. Sebaliknya seorang wanita yang tunduk patuh kepada Allah dan taat pula kepada kita, itulah gambaran sebenar sebaik-baik hiasan dunia.
PENUTUP : SALAHKAH SAYA MENCARI YANG CANTIK?
Jawabnya, tidak salah. Carilah, kerana itu hak anda untuk mencari.
Tetapi jangan sampai pencarian itu dipandu hawa nafsu untuk mendapatkan yang paling sempurna.
Lalu calon A ditolak kerana kurang ini, calon B ditolak kerana kurang itu, calon C ditolak kerana kurang ini dan itu, dan seterusnya. Kelak, dia akan beroleh buntu dalam demand nya sendiri.
Ingat, cari yang solehah, insyaAllah dapat yang sempurna.
Cari yang solehah dulu, jangan cari yang sempurna dahulu.
Kerana manusia tidak sempurna, pasti dan pasti ada kelemahan dan kekurangannya.
Sekian.
0 Response to "Cari Yang Solehah, Bukan Yang Sempurna"
Post a Comment