Dipenjara curi susu, kicap



Melaka: Gara-gara mencuri pelbagai barangan termasuk dua bungkus susu formula serta kicap di sebuah pasar raya, seorang ibu enam anak dipenjara enam hari dan didenda RM300 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.



Hukuman diputuskan Majistret Norina Maludin terhadap Rasmah Joles, 40, dari Tanjung Minyak di sini, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri enam jenis barangan iaitu dua bungkus susu formula Ducth Baby Step 1, dua botol kicap cap Kipas Udang, empat pensil mekanikal jenama Pilot dan masing-masing satu serbuk minuman Super Power enam dalam satu Tongkat Ali, ubat gigi Colgate dan Scoth Brite.


Tertuduh didakwa mencuri semua barangan bernilai RM138.20 milik Pasaraya Giant itu di pasaraya berkenaan di Jalan Tun Fatimah Bachang di sini, kira-kira 9.30 malam pada 26 November 2014.


Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

0 Response to "Dipenjara curi susu, kicap"