Jasad berdarah tepi tokong



Georgetown: Seorang lelaki dipercayai disamun sebelum dibunuh dengan kejam apabila dia ditetak di leher, tangan dan belakang badan dalam kejadian di tepi sebuah tokong di Taman Metropolitan, Relau di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.40 pagi, mayat mangsa dalam keadaan berlumuran darah ditemui dalam keadaan terbaring oleh orang awam yang datang untuk bersembahyang di tokong berkenaan sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan penemuan mayat dipercayai warga Myanmar itu mempunyai kaitan dengan beberapa siri kes bunuh warga asing sebelum ini.


“Berdasarkan kesan kecederaan dan tetakan pada tubuh mangsa, ia tidak mustahil dilakukan ahli kumpulan yang sama. Memang menjadi modus operandi kumpulan terbabit untuk menetak dan mengelar mangsa sebelum mayatnya dibuang.


“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kes-kes ini berkaitan atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas Kejohanan Tenpin Boling Piala Ketua Polis dan Piala Pengerusi Persatuan Kebajikan Polis (Perkep) Pulau Pinang 2014 di Megamal Pinang, semalam.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, berdasarkan keadaan mayat mangsa berusia 30-an itu dia dipercayai meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemui orang awam.


“Siasatan awal dilakukan kami tidak menolak kemungkinan kejadian ini bermotifkan samun, usaha kini sedang dilakukan untuk mengenal pasti identiti mangsa.

“Pemeriksaan dilakukan terhadap mayat mangsa tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri, begitu juga dengan dompet miliknya yang turut hilang,” katanya.

Mazlan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku antara jam 2 hingga 5 pagi semalam, ketika itu mangsa dipercayai cuba mempertahankan diri daripada serangan suspek sebelum dia ditetak.

“Berdasarkan keadaan mayat ditemui dan keadaan di lokasi kejadian, kami percaya suspek menyerang mangsa membabitkan lebih daripada seorang individu.

“Selain itu Unit Anjing Pengesan (K-9) turut dipanggil bagi mengesan sebarang petunjuk untuk menjejak suspek dan memeriksa sekiranya senjata digunakan untuk menetak mangsa ditinggalkan di kawasan berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Mayat mangsa juga sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk proses bedah siasat,” katanya.

0 Response to "Jasad berdarah tepi tokong"