‘Sakit hilang lihat anak sihat’


Ipoh: “Melihat keadaan Putra Muhammad Ilyas Rahizalkhiri yang sangat aktif selepas seminggu dibedah, kesakitan yang saya alami bagai hilang begitu saja,” kata Sazariah Abdul Aziz, 32.


Sazariah ibu kepada Putra Muhammad Ilyas atau lebih mesra disapa Putra iaitu kanak-kanak berusia dua tahun yang mengalami kerosakan hati dan menjalani pemindahan hati di New Delhi, India pada 11 November lalu.

Lebih melegakan Sazariah apabila melihat anak lelakinya itu kembali aktif bermain seperti kanak-kanak normal lain yang tidak pernah menjalani pembedahan.

Sazariah selaku penderma hati kepada anak lelakinya itu berkata, dengan bantuan pihak media, kos perbelanjaan sejumlah hampir RM200,000 berjaya dikumpulkan dan dia anak-beranak termasuk suaminya, Rahizalkhiri Rahim, 39, bertolak ke India pada 2 November lalu.

Katanya, sebaik tiba di sebuah pusat perubatan di negara itu, mereka terus diarahkan membuat ujian dengan Putra yang mengalami masalah urat terlalu kecil dan radang paru-paru sebelum melaksanakan pembedahan sembilan hari selepas itu.

“Risiko pembedahan kira-kira 25 peratus, tidak boleh digambarkan perasaan ketika itu, saya cuma tetapkan dalam hati mahu melihat Putra sihat dan nekad melakukannya,” katanya yang bertarung di bilik pembedahan selama 13 jam.

Mengenang kembali saat menempuh detik sukar itu, Sazariah berkata, Putra Muhammad Ilyas yang dilahirkan 11 September 2010 disahkan doktor menghidap kerosakan hempedu ketika berusia dua bulan.
“Ketika itu, kulitnya menjadi kering, kegatalan, kerap membuang air besar iaitu setiap setengah jam dengan najis, kencing, mata dan kulit berubah berwarna kuning.

“Kami diberi pilihan untuk membuat rawatan ‘Kasai’, tetapi kami menolak kerana dimaklumkan peluang pulih cuma 20 peratus.

“Kami berusaha pula dengan rawatan secara Islam, Alhamdulillah dia mampu bertahan sehingga ke usia setahun enam bulan. Namun selepas itu dia mula menunjukkan perubahan apabila mengalami muntah dan berak darah, lalu doktor mengesahkan hatinya sudah rosak,” katanya, semalam.

0 Response to "‘Sakit hilang lihat anak sihat’"