Penyamun toreh pipi kiri



Pasir Puteh: Seorang wanita berusia 22 tahun ditoreh dan dipukul penyamun yang memecah masuk rumah mereka di Wakaf Berangan di sini, petang semalam.



Kejadian kira-kira 2 petang itu berlaku ketika wanita terbabit berada dalam bilik air, manakala ibunya, 58, berehat di bahagian dapur rumah.


Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Abd Rozak Muhammad berkata, dua suspek lelaki dipercayai warga tempatan meluru masuk ke rumah mangsa dengan memakai topi keledar yang mempunyai 'visor'.


"Suspek menendang pintu bilik air mangsa dan menariknya ke ruang tamu sebelum terserempak dengan ibu mangsa di dapur.


"Mangsa kemudian diarah mencabut cincin emas dipakai ibunya, selain dibawa ke satu bilik," katanya.
Suspek dilihat mangsa cuba menanggalkan seluarnya dipercayai mahu merogol mangsa, namun membatalkan hasrat apabila suspek yang berada di luar bilik memanggilnya.


"Suspek kemudian masuk semula ke bilik menumbuk mangsa dan menoreh pipi sebelah kiri mangsa. Ibu mangsa juga cedera di dahi dan bibir.


“Kedua-dua suspek melarikan diri apabila terdengar jeritan seorang adik mangsa yang menyembunyikan diri di dalam bilik lain," katanya.



Mangsa dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.


Barang yang hilang adalah sebentuk cincin emas, seutas gelang tangan emas dan telefon bimbit iPhone 5S warna putih dianggar bernilai RM10,000.

0 Response to "Penyamun toreh pipi kiri"