Kenikmatan Colek Bismillah

Foto

Tumpat: Jika berkunjung ke Pengkalan Kubor, tidak sah jika tidak mencuba rojak buah atau 'colek Pok Li' yang begitu sinonim sebagai juadah tarikan di kawasan itu.

Colek Pok Li diusahakan oleh Jihad Hussain, 64, sejak 23 tahun lepas dan beliau menyara isteri serta lima anaknya dengan berniaga rojak buah atau lebih dikenali sebagai `colek' di Kelantan. 

Jihad yang lebih dikenali sebagai `Pok Li' hanya menggunakan motosikal beroda tiga yang ditempatkan di satu sudut di dalam kompleks membeli belah Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor di sini. 

Kelincahannya memotong buah-buahan yang merupakan ramuan utama rojak berkenaan, membuatkan sesiapa yang melihatnya tertarik hati dan ingin mencuba kenikmatan rojak buah Pok Li itu.

Antara ramuan utama coleknya ialah buah mempelam, nanas, jambu dan beberapa jenis jeruk lain dan kelebihan rojak buah Pok Li adalah pada sos pencicah buatan sendiri terdiri daripada kicap pekat, garam yang dicampur lada menjadikan rasa rojak berkenaan begitu lazat.

Jihad menjual rojak itu dengan harga serendah RM2 sehingga RM10 sebungkus dan pada hari-hari biasa pendapatannya adalah lebih kurang RM50 hingga RM100 sehari dan lebih RM100 sehari semasa musim cuti.

Namun sejak minggu lepas, pendapatan Jihad meningkat sekali ganda ekoran ratusan orang dari seluruh pelusuk negara yang datang bertugas dan berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.

Katanya, sejak semalam dirinya tidak `menang tangan' melayan pembeli yang tidak putus-putus datang.

"Nampaknya Pok Li kena tambah buah-buahan dan kena berniaga lebih masa kali ini," sambil merujuk kepada suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.

Jihad berkata, ada kalangan pembelinya tidak pernah merasai rojak buah yang terdapat di Kelantan seperti yang diusahakannya itu dan ramai orang dari luar Kelantan membeli rojaknya dengan banyak setelah merasai rojak itu.

Bagi Rashid Salim, 47, dari Perak berkata, beliau yang pertama kali mengujungi Zon Bebas Cukai itu rasa bertuah kerana berpeluang menikmati pelbagai jenis makanan di sempadan Malaysia-Thailand itu termasuk rojak Pok Li.

Seorang lagi pengunjung Azizah Man, 54, dari Kuala Lumpur berkata, sempena PRK yang kebetulan juga cuti persekolahan, dia mengambil kesempatan datang bersama keluarganya di sini, sambil berkempen, membeli belah dan turut ingin mencuba rojak Pok Li. 


Sumber: Metro

0 Response to "Kenikmatan Colek Bismillah"