Suami belasah isteri gara gara hutang judi

isteri kena dera
KEMAMAN – Tiada hati perut. Seorang suami naik minyak hingga tergamak membelasah dan mengacu pisau pada isterinya yang enggan meminjamkan RM2,000 untuk melangsaikan hutang judinya dalam kejadian di rumah mereka di sebuah estet dekat Jabor..

Lebih kejam, bapa dua anak itu mengugut untuk mencagarkan anak lelaki sulung mereka yang berusia 3 tahun kepada ah long jika kehendaknya tidak dipenuhi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, kaki judi berkenaan turut menjadikan anak sulung dan bongsunya yang berusia setahun sebagai tempat melepaskan amarah apabila menolak kedua-duanya hingga jatuh ke lantai.
Menurut sumber, pasangan itu pada mulanya sekadar bertikam lidah selepas mangsa berusia 25 tahun tidak mahu mengikut arahan suaminya yang mahu meminjam RM2,000 daripada sebuah kedai runcit berdekatan rumah mereka.
“Berang dengan keengganan isterinya itu, suspek mula bertindak agresif apabila menampar dan menumbuk mangsa.
“Tidak cukup dengan itu, suspek turut bertindak mencekik leher sambil mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa,” katanya.
Menurut sumber, tanpa belas kasihan, suspek turut mencubit bayi perempuannya berusia setahun sehingga anaknya itu mengalami kesakitan di badan.
Malah katanya, suspek juga mengugut mahu meminjam wang daripada ah long untuk menjelaskan hutangnya dengan menjadikan anak lelaki mereka sebagai cagaran.
“Mangsa tidak menyangka suspek berfikir sejauh itu semata-mata ingin mendapatkan wang walaupun terpaksa mencagarkan anak kandung sendiri.
“Kebetulan ketika kejadian, kakak mangsa bersama rakannya datang ke rumah pasangan itu dan cuba menasihati suspek, namun suspek tetap berdegil menyebabkan mangsa nekad mengikut kakaknya dengan membawa dua anaknya bagi menyelamatkan diri,” katanya.
Khuatir keselamatan diri dan anak-anaknya terancam, lebih-lebih lagi selepas suaminya bertindak agresif termasuk berani mengacu pisau, mangsa akhirnya membuat laporan di Balai Polis Chukai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan menerima laporan berkaitan kes berkenaan. 


Sumber: Metro

0 Response to "Suami belasah isteri gara gara hutang judi"