Dalang bocor soalan peperiksaan dikenal pasti

Foto

Beberapa individu dan empat lokasi 'panas' yang didakwa punca kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sudah dikenal pasti oleh Kementerian Pendidikan manakala polis tubuhkan pasukan khas bagi menyelaras laporan dan siasatan.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, individu dan empat lokasi panas itu dikenal pasti berdasarkan siasatan awal polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta kementerian.

Bagaimanapun, Idris enggan mengulas mengenai kemungkinan pembabitan 'orang dalam' selain menyerahkan isu itu kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Saya kesal kerana perkara itu memberi kesan kepada 473,175 calon UPSR dan mahu pengkhianat yang terbabit di bawa ke muka pengadilan serta dikenakan tindakan sekeras-kerasnya.

"Saya juga simpati dengan nasib anak-anak ini serta ibu bapa masing-masing yang mengalami tekanan akibat kebocoran kertas soalan itu.

"Saya juga sahkan bahawa Lembaga Peperiksaan (LP) sudah mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, sebuah pasukan khas ditubuhkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bagi menyelaras laporan polis dan siasatan berhubung kebocoran kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris itu manakala tiga individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Gan Khong Meng berkata, pasukan khas itu bertujuan menyelaras dan mempercepatkan siasatan kes itu selepas tiga laporan polis dibuat.

"Tiga laporan polis diterima iaitu dua di Putrajaya oleh pegawai kanan Lembaga Peperiksaan dan Jabatan Pelajaran Malaysia manakala satu lagi di Johor oleh pegawai khas kementerian," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 8, Akta Rahsia Rasmi yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.


Sumber: Hmetro

0 Response to "Dalang bocor soalan peperiksaan dikenal pasti"