Sikap pamer kemewahan punca hutang tinggi


Sikap berlumba-lumba untuk mempamerkan kemewahan dilihat sebagai punca isi rumah di negara ini mencatatkan bebanan hutang yang tertinggi daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Nik Mustapha Nik Hasan berkata, banyak isi rumah pada zaman sekarang dilihat hidup di luar kemampuan pendapat mereka sehingga menyebabkan mereka terpaksa menanggung berhutang. 

"Menurut Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2013 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia mendapati sektor isi rumah berhutang bagi memenuhi keperluan dan kehendak seperti pembelian harta kediaman iaitu sebanyak 47.1 peratus, diikuti pembelian kenderaan bermotor sebanyak 20 peratus, pembelian hartanah bukan kediaman sebanyak 8.3 peratus, pembelian sekuriti pula sebanyak 7.8 peratus, pembelian kad KREDIT adalah lima peratus dan lain-lain yang hanya merangkumi dua peratus," katanya selepas merasmikan Seminar Beban Hutang Isi Rumah: Punca dan Penyelesaian di IKIM di sini, hari ini. 

Tambahnya lagi, pola hutang isi rumah yang meningkat setiap tahun menjadikan negara Malaysia sebagai antara negara yang mencatatkan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia iaitu pada 81.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2012 meningkat kepada 86.8 peratus pada tahun lalu.

"Oleh hal demikian, pendidikan dalam berbelanja merupakan satu aspek yang harus ditekankan kepada isi rumah agar tidak boros dan tidak berbelanja kepada perkara yang mampu menjerumuskan mereka ke kancah beban hutang," katanya lagi.

Seminar yang berlangsung selama dua hari bermula pada hari ini akan menampilkan lapan pembentang kertas kerja daripada pelbagai agensi dan institusi pengajian tinggi yang akan membentangkan kajian mereka terhadap bebanan hutang isi rumah di negara ini. 

0 Response to "Sikap pamer kemewahan punca hutang tinggi"