Johor Bahru: Seorang jurukimpal berusia 44 tahun maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika bekerja di sebuah tapak pembinaan di Jalan Skudai di Danga Bay di sini, pada 5.20 petang tadi.
Saksi dikenali sebagai Arif, 30, berkata kejadian disedari oleh seorang rakannya apabila mangsa yang melakukan kerja mengimpal di dalam paip besar tidak memberi sebarang maklumbalas selepas tempoh 15 minit memulakan kerja.
Menurutnya, rakannya kemudiannya meninjau keadaan mangsa dengan memasuki paip berkenaan dan mendapati mangsa rebah.
"Kami kemudian membawanya keluar dari paip itu dan dapat berasakan aliran arus elektrik pada tubuh mangsa dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.
"Kami bimbang dengan keadaannya dan bertindak menghubungi ambulans serta polis bagi memaklum kejadian," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata kejadian berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Beliau berkata, mangsa, Yusman Ahmad adalah jurukimpal yang bekerja di sebuah syarikat swasta sejak lapan bulan lalu.
Menurutnya, mangsa ditemui di dalam sebuah paip besar berkenaan di mana rakan mangsa menyatakan dapat berasakan aliran arus elektrik pada tubuhnya.
"Kejadian berlaku ketika mangsa sedang membuat kerja mengimpal dalam paip manakala seorang rakannya, Mohd Musa Ahmad,26, bekerja di bahagian luar bagi tujuan penyambungan paip.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematiannya," katanya.
0 Response to "Rebah dalam paip"
Post a Comment