Nenek tauke daun ketum ditahan



Jitra: Kegiatan licik seorang nenek berusia 65 tahun yang menjadi tauke daun ketum sejak setahun lalu, akhirnya terbongkar apabila dia ditahan polis di rumahnya di Kampung Pida 6, Kodiang, di sini, kelmarin.



Dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi, warga emas berkenaan ditahan bersama anak saudaranya berusia 29 tahun ketika memetik daun ketum yang ditanam di belakang rumahnya di kawasan seluas 0.3 hektar untuk dijual kepada penduduk di sekitar kawasan berhampiran.


Warga emas itu dipercayai menjalankan perniagaan keluarga itu sejak setahun lalu dan mampu meraih keuntungan sehingga mencecah RM1,000 sehari bergantung pada permintaan daripada pelanggan.

Difahamkan, anak saudaranya itu dipercayai diupah untuk memetik daun ketum itu setiap hari 
bergantung pada permintaan setiap hari dan biasanya ia membabitkan kuantiti yang banyak.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, berdasarkan maklumat awam, sepasukan lima anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan tujuh anggota dari Balai Polis Kodiang melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui wanita warga emas dan seorang wanita dipercayai anak saudaranya sedang memetik daun ketum itu untuk dijual kepada pelanggan mereka.

“Warga emas itu dipercayai menjalankan kegiatan itu untuk mendapatkan wang dengan mudah berikutan permintaan tinggi daun ketum di kawasan itu.

“Berdasarkan rekod, kita pernah menyerbu kawasan ini tahun lalu dan menahan seorang wanita berusia 30-an yang dipercayai mempunyai kaitan persaudaraan dengan mereka kerana melakukan kegiatan yang sama,” katanya di sini, kelmarin.

Abd Rahim berkata, modus operandi yang dilakukan mereka ialah dengan memasukkan daun ketum yang siap dipetik itu ke dalam plastik hitam sebelum diikat dan disimpan dalam rumah.

“Pelanggan akan datang ke rumah berkenaan dan mengambil daun ketum itu untuk diedarkan ke kawasan berhampiran dengan harga yang lebih tinggi.

“Berikutan itu, kita merampas sembilan bungkus plastik hitam yang mengandungi kira-kira 53 kilogram (kg) daun ketum yang mana setiap bungkus mengandungi antara lima hingga enam kg.

“Daun ketum itu dijual sekitar RM18 sekilo dan nilai keseluruhan yang dirampas hampir mencecah RM1,000 yang kemudian dibawa ke IPD Kubang Pasu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Abd Rahim berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka bebas daripada sebarang pengambilan dadah dan ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan suspek direman bermula semalam untuk siasatan lanjut.

0 Response to "Nenek tauke daun ketum ditahan"