Gelora muda ‘atuk miang’


Betong: Kubur kata mari rumah kata nanti, namun jiwa muda segelintir lelaki tua rakyat Malaysia yang purata umur menjangkau 70-an menyebabkan ‘kelab tarian bogel’ di pekan Betong, Thailand di sini, tidak pernah sunyi daripada dikunjungi golongan ini.


Lebih memalukan, kewujudan Masjid Jamek Al Mahadi yang terletak kurang 200 meter dari pusat maksiat ini tidak sedikitpun mencetuskan rasa malu dalam kalangan pengunjung beragama Islam ini.

Kumpulan lelaki warga emas yang datang berlibur ini didapati kerap memenuhi pusat hiburan sekitar Jalan Chayachawalit, Jalan Mongkolprachak dan Jalan Grandvilla 2 di sini, yang menawarkan tarian bogel serta joget tiang kepada pengunjung.

Pusat hiburan mendapat jolokan ‘kelab atuk nakal’ ini berbeza dari pusat tarian bogel di Hatyai atau Bangkok, Thailand, berikutan ia membenarkan pelanggan menyaksikan tarian bogel pada jarak dekat dengan pentas atau tiang persembahan.

Suasana ini, sekali gus dianggap istimewa berikutan pengunjung lelaki boleh menyentuh penari atau melihat persembahan maksiat daripada dekat.

Ini menyebabkan lokasi pusat hiburan pernah dijadikan sasaran bom jangka puak pemisah Islam di Selatan Thailand pada 25 Julai lalu terus dikunjungi lelaki warga Malaysia tanpa rasa gusar.

Tinjauan wartawan Metro Ahad selama tiga hari mendapati rata-rata pusat hiburan maksiat ini dipenuhi lelaki Malaysia seawal jam 3 petang saban hari.

Antara pusat maksiat popular dalam kalangan pengunjung warga Malaysia di sini adalah Jockey Club, Gala, Sexy Dance dan Disko 008.

Kebanyakan kelab tarian berahi ini didapati menyediakan sehingga 30 penari bogel pada satu-satu masa.
Wanita terbabit akan menari secara bergilir-gilir di atas pentas sambil diiringi muzik rancak manakala sebahagian lagi rakan mereka melayan pelanggan yang mengerumuni pusat hiburan itu.

Seorang lelaki warga emas yang ditemui wartawan berkata, dia sering datang ke Betong bersama tiga rakan sekurang-kurangnya dua kali sebulan.

“Kami bukan buat dosa teguk arak macam orang lain. Datang cuci mata tengok perempuan seksi di sini...cuma dosa ringan.

“Tak mahal pun, tiada caj masuk kelab, cuma bayar air Coke segelas dengan harga Baht 100 (RM10) kemudian boleh duduk tengok show sampai puas,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 71.
Peraih getah berasal dari Gerik, Perak itu berkata, pertunjukan tarian tiang atau ‘tiger show’ itu bermula seawal jam 3 petang hingga 11 malam.

“Jadi kami tak perlu tidur di Betong. Masuk sekejap untuk tengok show dan balik ke Malaysia sebelum pintu Kompleks Imigresen Bukit Berapit di Pengkalan Hulu ditutup,” katanya.

Seorang lagi warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Halim, 65, berkata, lokasi pusat hiburan di Betong kini kian meriah berbanding lima tahun lalu.

“Dulu (pusat hiburan) di Betong lengang dan terkawal, namun sekarang terlalu ramai pengunjung dari Kedah dan Kuala Lumpur terutama ketika hujung minggu.

“Terasa rimas sebab semua pusat hiburan dan tarian bogel berasak-asak dengan pelanggan lain,” katanya yang bekerja sebagai pemandu teksi.

Sumber : Metro Online

0 Response to "Gelora muda ‘atuk miang’"