Hukum Pemakaian Inai Bercorak

Inai Bercorak

Mungkin masih ramai yang tertanya dan ragu berkenaan dengan hukum memakai inai bercorak atau inai yang dilukis di tapak tangan atau di belakang tapak tangan, samada haram atau tidak bagi lelaki dan wanita, mungkin masih menjadi persoalan kepada mereka yang belum tahu terutamanya golongan wanita yang begitu meminati memakai inai bercorak (Henna) semasa majlis perkahwinan dan sebagainya.




Pelbagai pendapat dan kesimpulan yang boleh kita dapati tentang hukum pemakaian inai untuk lelaki dan perempuan. Ada pendapat menyatakan adalah haram sekiranya lelaki memakai inai untuk tujuan perkahwinan samaada hanya untuk tiga jari dan ada pendapat menyatakan adalah makruh jika lelaki memakai inai. Tetapi lain pula untuk perempuan, sesetengah pendapat menyatakan, sekiranya seseorang perempuan itu memakai inai dengan niat untuk menghias diri dan inai yang dipakai yang diasaskan oleh daun inai semulajadi tanpa ukiran seperti tattoo yang bercorakkan binatang dan berhala, hukumnya adalah harus.

Sebenarnya persoalan hukum pakai inai telah pun terjawab melalui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang telah diadakan pada 2 Oktober 2009. Semoga keputusan muzakarah ini akan menjawab semua persoalan dan pertanyaan kepada semua yang bertanyakan tentang isu hukum halal dan haram pemakaian inai bercorak ini.

Hukum Memakai Inai Bercorak Mengikut Syarak

  • Memakai inai bercorak pada kedua tangan dan kaki bagi wanita yang berkahwin atau tidak, selagi tidak  menimbulkan fitnah adalah HARUS
  • Inai hanya boleh dipakai di kedua tangan dan kaki, tidak melebihi pergelangan tangan dan buku lali
  • Warna inai bercorak yang digunakan haruslah tidak  bersifat kekal seperti tatu
  • Ukiran atau corak yang dibenarkan seperti awan larat, bunga dan tumbuhan manakala ukiran seperti haiwan, dewa berhala atau apa saja yang bertentangan dengan agama Islam adalah dilarang
  • Memakai inai di kedua tangan dan kaki untuk seorang lelaki adalah tidak diharuskan, namun hanya sebilangan jari yang dibenarkan untuk tujuan perkahwinan dan tujuan perubatan

Untuk bukti sahih atau keterangan lanjut mengenai hukum pemakaian inai bercorak mengikut syarak, anda boleh merujuk di Portal Rasmi Fatwa Malaysia.

0 Response to "Hukum Pemakaian Inai Bercorak"