Pendang: "Mulanya kami sangkakan hanya seorang mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu, tetapi penemuan selipar berlainan warna di tepi jalan menimbulkan syak sebelum kami menemui seorang kanak-kanak yang masih bernyawa dalam longkang," kata seorang penduduk, Mohd Huzaini Hussain yang membantu mangsa kemalangan di Kilang Kechil, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.20 malam itu, mangsa, Zamir Ilham Zamri, 12, dan Muhammad Izam Shukri, 11, dipercayai menunggang skuter Yamaha Ego dari rumah mereka di Bukit Jambul menuju ke Kilang Kechil, dekat sini.
Difahamkan, kedua-dua sahabat itu dikatakan dalam perjalanan membeli kad prabayar di sebuah kedai berhampiran sebelum tayar motosikal terbabit pecah dan terbabas.
Akibatnya, Zamir Ilham yang parah di kepala dan muka meninggal dunia manakala Muhammad Izam dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk rawatan lanjut.
Mohd Huzaini, 25, berkata, ketika itu dia bersama beberapa penduduk menggunakan lampu telefon bimbit untuk mencari mangsa kerana keadaan jalan gelap. Mujurlah seorang mangsa sempat diselamatkan sebelum dihantar ke hospital.
Menurutnya, orang ramai yang mengerumuni kawasan kemalangan itu sayu dan sebak sebaik melihat keadaan dua kanak-kanak itu termasuk mangsa yang meninggal dunia. - Harian Metro
0 Response to "Tragedi kad prabayar"
Post a Comment