Johor Bahru: Seorang lelaki yang sudah tidak bernyawa masih tetap memeluk anak tirinya yang turut cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan disyaki pemandu mabuk ketika mereka melintas jalan di kilometer 7 Jalan Johor Bahru - Kota Tinggi, kira-kira 5 pagi ini.
Lebih menyayat hati, isteri dan ibu mangsa yang menoleh ke belakang sebaik sampai ke seberang jalan mendapati kedua-dua mangsa terbujur di atas jalan raya.
Pemandu kenderaan yang tidak berhati perut itu pula laju memecut meninggalkan tiga beranak terbabit di tempat kejadian dan kanak-kanak berkenaan akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah, tengah hari ini.
Dalam kejadian itu, Ellyas Salleh, 33, sedang mendukung anak tirinya Julia Alfiana Nasyirah Agi Kasumi, 4, berada di belakang isterinya Wati Damam, 29, yang sudah melintas jalan.
Pasangan itu yang bekerja sebagai pembantu kantin dikatakan melintas jalan untuk menahan teksi bagi ke tempat kerja di Sekolah Agama Taman Cendana Pasir Gudang.
Belum sempat Ellyas dan Julia sampai ke tempat Wati, mereka dirempuh sebuah kenderaan yang dikatakan dipandu laju dan berlalu tanpa menghiraukan dua beranak yang terbaring berpelukan itu.
Ibu Ellyas, Zuraina Hashim, 50, berkata, Wati menelefonnya memberitahu mengenai kemalangan yang menimpa suami dan anaknya, kira-kira jam 5.10 pagi.
"Wati menelefon saya memaklumkan kejadian pagi tadi. Dia kata Ellyas meninggal dunia dan Julia kritikal dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 12 tengah hari).
"Cerita Wati, dia sudah melintas dahulu namun sebaik menoleh ke belakang dia mendapati suami dan anak yang didukungnya sudah tidak sedar dengan Ellyas masih erat memeluk Julia yang masih nyawa-nyawa ikan," katanya ketika ditemui di wad kemalangan dan kecemasan Klinik Waqaf An Nur Pasir Gudang di sini, hari ini.
0 Response to "Dipeluk jasad ayah"
Post a Comment