Tanah Perkuburan dan Larangannya


Menurut Mazhab Syafi'e, mendirikan sebarang binaan sama ada berupa atap, kubah, rumah, masjid, tambak dan apa jua binaan lainnya di dalam atau di atas kubur di tanah perkuburan awam adalah haram dan binaan itu hendaklah dirobohkan kecuali kubur orangorang tertentu seperti kubur-kubur para nabi, para syuhada, orang-orang salih dan seumpamanya. Imam at-Tirmidzi telah meriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu 'anhu yang bermaksud :

"Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menegah dari menembok (memplaster) kubur, menulisnya dan mendirikan binaan di atasnya."

Hal ini diperkuatkan lagi dengan perbuatan Sayidina Umar Radhiallahu 'anhu yang merobohkan satu kubah yang dibina di atas kubur dan berkata :"Biar mayat ini dilindungi oleh amal ibadatnya sendiri."

Pengharaman ini adalah kerana dengan adanya binaan tersebut maka akan menyempitkan kawasan tanah perkuburan dan akan menimbulkan kesusahan kepada orang ramai untuk menanam mayat di kawasan itu sedangkan tempat itu adalah hak orang ramai dan bukan hak persendirian, sesiapa sahaja boleh menanam mayat di kawasan itu.

Tetapi jika tanah perkuburan itu adalah hak milik persendirian ahli kubur, maka mendirikan binaan di dalam dan di atas tanah perkuburan
adalah makruh dan tidak perlu dirobohkan. Begitu juga jika tanah perkuburan itu berada di kaki bukit atau di tanah curam yang ditakuti tanah-tanahnya runtuh, maka boleh didirikan binaan seperti tembok bagi menghalang dari terjadinya tanah susur atau runtuh. Perbuatan seumpamanya ini adalah dibolehkan bagi menjaga maslahat kubur dan tanah perkuburan tersebut.

Terdapat beberapa perkara yang dilarang mengenai kubur ialah:

i. Memakmurkan kubur yang sudah lama dan menjadikannya seolah-olah kubur baru kerana yang demikian boleh mengelirukan orang ramai dan menganggap bahawa kubur itu adalah kubur baru dan dengan demikian menghalangnya untuk menanam mayat di situ.

ii. Menyapu kapur atau plaster (campuran kapur, pasir dan air yang menjadi keras apabila kering untuk melapis dinding) pada kubur kerana perbuatan itu bermaksud hiasan dan kubur bukanlah tempat untuk berhias-hias dan berbangga-bangga.

iii. Menulis, mengukir dan menghias kubur sama ada di bahagian atas kepalanya atau bahagian lain seperti menulis kubur dengan ayat-ayat Al-Qur'an, syair-syair dan kata-kata pujian, meletakkan hiasan jambangan bunga manis, menyimpan rumput-rumput hiasan, meletakkan batu-batu marmar, mengukir dengan ukiran bunga dan sebagainya. Semua perbuatan tersebut tidak memberi manfaat kepada ahli kubur dan merupakan suatu pembaziran. Bagi larangan menulis ayat-ayat Al-Qur'an pula, adalah kerana ayat-ayat Al-Qur'an tersebut akan terdedah kepada pencemaran kehormatan ayat-ayat suci dan tiada jaminan dalam pemiliharaannya. Walau bagaimanapun menulis nama ahli kubur bagi tujuan pengenalan semata-mata adalah dibolehkan bagi pendapat setengah ulama.

iv. Mengucup kubur, mengelilinginya (tawaf), memasang setanggi padanya dan mengambil tanahnya untuk mengubat penyakit.

v. Tidak harus memasang pelita di atas kubur kerana kubur-kubur tidaklah dikehendaki terang dan diterangi dan disuluh dengan lampu sebagaimana masjid-masjid.

vi. Sembahyang di kubur dan menghadap kubur. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Abi Marsad Al-Ghanawi bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud: "Janganlah duduk di atas kubur dan jangan sembahyang menghadap ke arahnya.

vii. Makan dan minum.

viii. Berkata-kata yang tidak baik.

0 Response to "Tanah Perkuburan dan Larangannya"