Kisah Along Rahmat OKU yang mempunyai suara merdu



Siri 1

Hari Ahad (29.12.2013) – Hamba dan anakanda hamba, Abang Aliff sempat berbasikal sekitar Seksyen 19 dan 18 pagi ini. Dapatlah kami mengeluarkan peluh kira-kira 1 jam berbasikal bermula jam 7.30 pagi ini. Tiba-tiba timbul keinginan hamba untuk pergi ke pasar karat (car boot SALE di perkarangan parkir Stadium Shah Alam. Sudah agak lama hamba tidak ke sini dan seingat hamba hanya 2 kali sahaja hamba pada tahun 2013..
Jam 8.30 kami (hamba dan Abang Aliff) sudah berada di pasar karat ini. Kelihatan sudah ramai pengunjung dan peniaga yang membajiri kawasan lot perniagaan ini. Niat di hati sekadar ingin berjalan-jalan melihat kemeriahan pasar ini. Mungkin ada sesuatu yang menarik namun segalanya bergantung kepada ‘keperluan atau nafsu’..
Lebih kurang 45 minit berpusing di sekitar pasar ini, hamba sudah membeli seluar ‘bundle’ sehelai, tracksuit Abang Aliff dan kereta mainan besi terpakai (4 buah, RM10) untuk hero-hero di rumah..
Tiba-tiba hamba terdengar alunan bacaan ayat suci Al-Quran di sekitar lot perniagaan di sini, sungguh merdu bacaannya.. Hamba beranggapan pasti ada peniaga yang menjual CD ayat-ayat suci Al-Quran ini.. Rupa-rupanya kira-kira 20 meter dari tempat hamba berdiri, keliahatan seorang lelaki muda sedang mengalun secara menghafal di tepi ruang pejalan kaki..
Hamba mendekati dan berdiri di sebelah beliau. Memang sungguh merdu suara beliau. Seolah-olah hamba sedang mendengarnya dari rakaman CD. Tamat sahaja beliau mengaji, hamba bersalaman dengan beliau dan memperkenalkan diri hamba dan Abang Aliff.. Rahmat nama anak muda ini! Seolah-olah ‘Rahmat’ juga yang hadir buat kami pengunjung di sini mendengar alunan ayat Al-Quran dari seorang anak muda Orang Kelainan Upaya (mata)!
Siri 2
Sambil Rahmat mengira wang sumbangan yang diterima dari orang ramai yang simpati dan menghargai usaha beliau membaca ayat suci Al-Quran, kami berbual-bual mengenai diri dan keluarga. Menurut beliau, beliau berasal dari Kuantan, Pahang. Baru semalam datang ke Kuala Lumpur dan menginap di HOTEL bajet di Bukit Bintang. Beliau datang ke Shah Alam ini dengan menaiki teksi..
Mungkin kerana hamba memakai kaca mata hitam, pengunjung di pasar ini beranggapan hamba juga adalah OKU! Hehehe..
Perbualan kami menarik minat pengunjung yang lalu lalang dan mereka tidak kedekut untuk menyumbangkan sedikit wang kepada Rahmat. Sambil kami berbual-bual, tangan Rahmat menyusun wang-wang hasil sumbangan orang ramai dan menurut beliau, “Khuatir ada ‘tetamu’ tidak diundang!” Hamba faham maksud beliau kerana mungkin ada ‘tetamu’ yang sedang memerhatikan kami di sini..
“Abang free tak selepas ini?” Beliau bertanya hamba..
“Insya’Allah free.. Mengapa Rahmat?” 
“Saya ikut abang pulang ke rumah boleh? saya teringin hendak melihat bayi kecil abang..” 
Sebelum itu hamba ada berbual dan berkongsi perihal anak-anak hamba..
“Boleh.. selepas Rahmat selesai di sini, kita pergi ke rumah abang dan kita breakfast dahulu boleh?” Hamba mempelawa beliau..
“Okay! Saya mengaji lagi satu surah selepas ini dan kemudian saya ikut abang..” Seronok Rahmat apabila hamba bersedia membawa beliau pulang ke rumah hamba melihat anak-anak hamba..
Siri 3
Sebelum hamba membawa Rahmat pulang ke rumah hamba, beliau meminta untuk pergi ke Plaza Alam Sentral (PAS). Ada barang yang ingin beliau cari katanya. Beliau sangat suka akan Abang Aliff. Berkali-kali beliau memeluk dan mencium pipi Abang Aliff. Melihat keadaan hubungan seperti itu, hamba minta Abang Aliff memanggil Rahmat dengan panggilan Ayah Cik! Rahmat bersetuju dengan panggilan tersebut..
Banyak perkara menarik yang dil uar keupayaan hamba berfikir sebagai manusia biasa. Kami berbual seolah-olah kami telah mengenali satu sama lain dalam tempoh yang lama. Rahmat juga seorang yang pandai berlawak dan latah! Hehehe..
Apabila samapi di PAS, beliau minta di bawa ke kedai yang menjual WALKIE TALKIE. Hamba tidak bertanya mengapa, kerana hamba tahu fungsinya alat komunikasi tersebut. Di aras 3, hamba menuju ke sebuah kedai yang menjual walkie talkie. Penjual tersebut memberikan dua set contoh kepada Rahmat. Rahmat mencuba dan kurang berminat dengan set tersebut.. “Kurang jelas la!” ujar Rahmat apabila beberapa kali mencuba bercakap melalui walkie-talkie tersebut.. Penjual tersebut nampaknya memahami keadaan tersebut.
Kemudian Rahmat meminta hamba mencarikan sound recorder pula. Hamba tidak banyak soal dan terus membawa beliau dari satu kedai ke satu kedai mecari alat tersebut..
“Kasihan abang terpaksa membawa saya hari ini. Saya hendak merekodkan suara saya dan menjualnya. Dengan cara ini saya dapat menjual sesuatu kepada orang ramai!” Beliau menjelaskan mengapa mahu mencari sound recorder tersebut.. “Jika mahu masuk studio rakaman saya tidak mampu dan siapa yang mahu membantu saya?” Ujar Rahmat lagi..
Ada betulnya kata Rahmat tersebut. Dengan suara beliau yang merdu itu, hamba yakin beliau boleh menjual CD bacaan ayat suci Al-Quran dari suara beliau sendiri. Menurut Rahmat lagi, beliau hafaz surah Yaasin, Al-Baqarah, Juzu’ Amma dan surah Sajadah. Rahmat juga berkebolehan dengan baik bernasyid dan berdikir! Betulkan saudara Affendi Amiruddin?
Siri 4
Abang Aliff juga nampaknya mesra dengan Ayah Cik beliau ini. Jika kami berjalan, Abang Aliff memimpin Rahmat di bahagian hadapan sebagai ‘mata’ manakala hamba memimpin di sebelah kiri..
“Rahmat, abang ada sound recorder. Sudah agak lama abang tidak menggunakannya dan jika Rahmat sudi, abang sedia memberikannya. Mungkin keadaannya masih baik kerana abang baru 3-4 kali sahaja menggunakannya” Hamba menawarkan sound recorder hamba yang hamba gunakan satu masa dahulu dalam pembikinan video klip dari kamera DSLR hamba..
Alhamdulillah, Rahmat sudi untuk menerima sound recorder terpakai milik hamba. Urusan kami hampir selesai dan Abang Aliff meminta untuk mencari kedai makan, lapar katanya. 
Kami turun ke tingkat G untuk mencari kedai makan. Hamba memilih sebuah kedai makan berhampiran kedai gambar. Rahmat meminta hamba membacakan menu yang disediakan di kedai tersebut dan beliau memilih Nasi Goreng Cili Padi, air Fresh Oren dan air kosong. Abang Aliff memesan Chicken Chop, air Epal manakala hamba memilih menu Nasi Goreng Ayam dan air Teh O Limau Panas.. Menurut Rahmat beliau memang gemar masakan pedas. namun apabila hamba sebaliknya. beliau ketawa! 
Siri 5
Seusai sahaja menjamu selera, kami pulang ke rumah hamba. Hamba ingin sekali memperkenalkan kepada isteri dan anak hamba akan sahabat baru hamba ini. Hamba bersyukur dipertemukan insan yang cukup istimewa ini.
Setibanya di rumah, hamba membawa beliau masuk ke dalam rumah dan anak-anak hamba bersalaman dengan Rahmat. Nampaknya anak-anak hamba mesra dengan sahabat hamba ini. Hamba meminta anak-anak hamba memanggil rahmat sebagai Ayah Cik juga. “Mana anak kecil abang yang baru lahir? Saya suka budak kecil!” Rahmat bertanya tentang Nur ‘Aisyah..
Perlahan-lahan Rahmat mengangkat Adik ‘Aisyah dan memegang dengan rapi. Hamba hanya memerhatikannya dan sememangnya Rahmat seperti sudah biasa memegang bayi yang baru lahir. Diacahnya Adik ‘Aisyah dan didodoi lagak seorang ayah yang penyayang..
Mungkin kerana kepenatan, Rahmat meminta izin untuk tidur sebentar. Sementara itu hamba ingin membersihkan diri dan solat Zohor. Hamba berjanji untuk menghantar Rahmat pulang ke HOTEL beliau di Bukit Bintang. Biarlah hari ini hamba sibukkan diri bersama sahabat baru hamba ini. Hamba mengganggap beliau sebagai salah seorang ahli keluarga hamba. Wajah insan istimewa ini hamba tenung dan hamba berdoa agar Rahmat dipermudahkan urusannya di dunia dan akhirat..Amin!
Kira-kira jam 3.00 petang hamba menggantar Rahmat ke HOTEL penginapan beliau.. 
Siri terakhir
Setibanya hamba di HOTEL tempat Rahmat menginap, hamba dimaklumkan oleh Rahmat kesemua power point plug di bilik beliau tidak berfungsi. Rahmat juga tidak dapat mengecas telefon bimbit beliau sejak semalam. Mendengar begitu, hamba menawarkan diri untuk bercakap dengan pekerja HOTEL tersebut dan meminta agar Rahmat dipindahkan ke bilik yang lain.
Pekerja hotel berbangsa Pakistan tersebut bersetuju dan kami diminta tunggu sementara beliau mencari dan membersihkan bilik yang elok keadaannya. Sementara menanti, hamba meminta izin untuk bergambar dengan Rahmat. Abang Aliff dan hamba bergambar kenangan dengan Rahmat walaupun Rahmat agak keletihan dan mengantuk..
Rahmat ada mengajak hamba untuk membeli headphone untuk digunakan bersama sound recorder yang hamba berikan kepada beliau. Melihat keadaan Rahmat yang lesu, hamba menawarkan untuk pergi sendirian membelinya di Plaza Low Yat. 
Alhamdulillah, Rahmat dipindahkan ke bilik yang baru dan lebih elok keadaannya. Abang Aliff membantu Ayah Cik beliau memindahkan beg pakaian dari bilik yang lama kepada yang baru. Gembira hamba melihat Abang Aliff sudah memahami situasi ini, iaitu situasi yang belum pernah beliau lalui seumur hidup beliau berusia 8 tahun ini. 
Sebelum hamba keluar dari bilik Rahmat, hamba ada menyatakan untuk membantu beliau dengan apa yang hamba boleh, iaitu dengan bantuan rakan-rakan (Facebook, Wassap, kenalan rapat), medium media cetak dan media elektronik. Hamba memohon kepada sahabat-sahabat (juga sahabat kepada sahabat-sahabat) semua agar dapat SHARE dan membantu Rahmat:
1. Membantu Rahmat merekod suara (recording), membuat CD beserta label.

2. Menjemput beliau untuk membuat persembahan di majlis-majlis yang sesuai dengan kebolehan yang dimiliki oleh Rahmat.

3. Kepada sahabat-sahabat yang bekerja di stesyen televisyen, sudilah kiranya menjemput Rahmat (tolonglah bayar sedikit) di dalam program-program yang sesuai.

4. Mohon kepada sesiapa yang ingin membantu beliau menyumbangkan wang, boleh salurkan ke akaun CIMB beliau 06050089467523 (Mohd Rahmat Bin Abdullah). Hamba sertakan juga nombor telefon beliau 010-4162379.
Hamba memeluk Rahmat dan berharap hamba dapat berjumpa beliau lagi selepas ini dan Rahmat juga begitu kepada hamba.
Besarlah harapan hamba kepada sahabat-sahabat semua untuk kita membantu insan istimewa anugerah dari Allah SWT ini. Hamba sering dibantu ketika hamba dalam kesempitan dan kesusahan. Semoga dengan perkongsian dari hamba ini, akan memberikan peluang untuk kita semua mendapat keredhaan hidup di dunia dan akhirat. 
(Hamba tidak bersedia untuk tag nama sahabat kerana khuatir mengganggu privasi kalian namun hamba izinkan kalian semua untuk tag kepada sesiapa sahaja..)
Berjuang demi Secebis Hati!
Allah Maha Besar!
Cerita oleh : Ahmad Khariri Al Hadi






Sumber : Sukan Star

0 Response to "Kisah Along Rahmat OKU yang mempunyai suara merdu"