Bismillahirrahmanirrahim,
…Dan sesungguhnya kepada Tuhanmulah kesudahannya segala sesuatu, Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis. Dan sesungguhnya Dialah yang mematikan dan menghidupkan…”- (An-Najm: 42-44)
Wahai insan istimewa pilihan Allah yakni insan yang sedang diuji,
Pujuklah hatimu andai dugaan yang mendatang itu seakan menghimpitmu. Bukan Allah tidak peduli. Bukan Allah hendak menyeksamu.
Bukan Allah sudah tidak melihat usaha dan doa-doamu, bukan Dia tidak kisah air matamu. Dia cuma hendak kamu tahu bahawa Dia menyayangimu. Sangat menyayangimu.
Masakan tidak, dari berbillion manusia di muka bumi ini, engkau pilihannya. Dia memilihmu kerana Dia ingin kau kembali padaNya.
Mungkin selama ini, kau lalai dari mengingatiNya dengan sebenar-benarnya, mungkin selama ini kau kurang bersyukur dengan apa yang telah Dia berikan padamu.
Limpahan nikmat yang kau perolehi jarang sekali kau syukuri. Bahkan kau tambahi dengan keluhan.
Maka, muhasabahlah.
Wahai calon penghuni syurga,
Mahasuci Allah yang menguasai segala kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa, Maha Pengampun.”- (Al-Mulk: 1-2)
Pujuklah hatimu andai dugaan yang datang itu seakan bertubi-tubi bagimu.
Bukan Allah tidak tahu, betapa dengan ujian dariNya ini, membuat kau terduduk, membuat kau menangis dan membuat kau lebih banyak ingat Dia.
Allah tahu itu dan ketahuilah Allah sentiasa memerhatimu dengan pandangan kasih sayang. Dia sentiasa ingin yang terbaik untuk kehidupanmu.
PerancanganNya sungguh berseni dan sungguh sempurna.
Dia tahu kau merancang itu dan ini, Dia tahu kau mahu itu dan ini, namun yang terjadi adalah sebaliknya. Kau perlu ingat dan pasakkan dalam jiwa, Dialah sebaik-baik perancang.
Wahai sekalian sahabatku yang sedang memperbaiki diri dan memperbaiki iman. Hidup ini dilingkari seluruhnya dengan limpahan kasih sayang Allah.
- Dia beri kau nikmat sepasang mata, kerana kau pilihanNya untuk ada nikmat itu. Pernahkah kau terfikir andai selepas ini Dia mengambil nikmat itu?
- Dia beri kau nikmat sepasang kaki, kerana kau pilihanNya untuk merasa nikmat itu. Pernahkah kau terfikir andai kakimu patah dan kau disahkan tidak boleh berjalan lagi?
- Dia beri kau nikmat sihat, kerana kau pilihanNya untuk merasa nikmat itu. Pernahkah kau terfikir betapa banyak manusia yang sakit dihospital amat menginginkan untuk kembali sihat?
Bahkan, Dia juga beri kau nikmat ada duit, kerja, makanan, rumah, pakaian, nikmat belajar dan bermacam-macam lagi.
Tapi sayangnya, kau selalu lupa untuk mengamalkan sifat Qanaah yakni merasa cukup dengan pemberianNya.
Maka, refleksilah diri kita selalu andai kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi dikemudian hari iaitu diakhirat sana.
Percayalah, Jalan yang Allah beri tidak akan mengecewakan kita
Yakinlah orang yang percaya akan janji-janji Allah, Dia akan kirimkan khabar gembira tidak lama lagi kepadamu dari jalan yang kau tidak sangka-sangka, cepat atau lambat bukan soalnya, yang pasti Allah tidak akan memungkiri janji.
Allah tidak akan mensia-siakan orang yang melakukan kebaikan termasuk usahamu untuk bersabar dan redha dengan setiap dugaan dariNya.
Jika bukan didunia, mungkin ganjaranmu disyurga sana. Percayalah dengan hebat bahawa Allah sesekali tidak akan mengecewakanmu kerana Dia Maha Adil dan Dia Maha Memberi.
Tidak dapat dinafikan ada ketika kau bertarung dengan perasaan sendiri, rasanya sakit sangat. Apatah lagi pada masa itu orang sekelilingmu seakan tidak memahamimu.
Tidak mengapa duhai hati, sabarlah dan solatlah. Allah sendiri berpesan dalam Al-Quran:
Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar.”- (Al-Baqarah: 153)
Tidakkah ayat dariNya itu menggugah jiwamu? Belum cukup tergerakkah dirimu untuk mencuba tips yang Allah ajari?
Lihatlah kehidupan ini dengan teliti, Allah mahu kita belajar..
Pandanglah sesuatu yang terjadi itu dengan positif dan professional serta cubalah belajar dari setiap yang kau perhati. Mungkin dari situ kau dapat ingat Dia.
Ingin saya membawa diri saya dan pembaca semua satu analogi. Mudah-mudahan dengan izinNya ada sedikit kefahaman kita mengenai ujian dalam kehidupan ini.
Kita bayangkan sebuah rumah. Dalam pembuatan rumah sahaja mengambil masa untuk siap. Perlu ada duit (peruntukan kewangan) untuk membeli bahan-bahan seperti simen, paku, pasir, dan sebagainya.
Prosesnya juga banyak dan pelbagai, susun batu bata, mengecat, pasang mozek, dan sebagainya. Kadangkala tukang buat rumah itu berhenti seketika, mungkin sebab panas, penat dan ingin berehat sebentar.
Dan mungkin ada ketika tukang itu tidak dapat bekerja kerana hari itu hujan lebat, dia minta cuti, dia sakit dan bermacam-macam lagi.
Lihat. Untuk membuat rumah saja, mengambil masa dan ada proses-prosesnya yang harus dilalui. Tersalah sedikit, akan memberi kesanlah kepada rumah kita, kan.
Begitu juga kita dalam kehidupan ini. Mungkin ujian yang hadir ini ialah sebagai turning point kita agar kembali kepadaNya.
Allah beri tempoh yang tertentu untuk kita lalui ujian ini. Pelbagai cara yang kita usahakan dalam melalui ujian itu dan bermacam-macam jenis orang yang kita jumpa.
Mungkin ada masa kau terduduk seketika, mencari ketenangan dariNya, mungkin ada masa kau mengumpul segala kekuatan untuk kembali bangkit dari rasa keputus asaanmu.
Ada masa kau mampu bertahan, namun ada masa kau rebah, tidak tertahan dan airmatamu pun tumpah membasahi pipi. Kau menangis semahumu, kau berdialog semahumu.
Dan Dia adalah saksi segala saksi atas segala yang kau lakukan termasuk yang terlintas dihatimu semasa mendepani ujiannya ini. Dan sampai satu saat, semuanya berakhir, ujian ini Allah izinkan berlalu pergi.
Dan ada ujian yang lain menanti pula.
Beruntunglah orang yang mendapat ujian daripada Allah.
Amat beruntunglah seseorang itu yang bilamana Allah hadirkan dugaan dalam hidupnya samaada dalam bentuk kesenangan mahupun kesusuhan, dia semakin dekat dengan pencipta, dia semakin ingat Dia dan sekaligus berazam untuk kembali kepadaNya.
Amat rugilah seseorang itu yang bilamana Allah hadirkan ujian kepadanya, dia masih ditakuk yang sama. Mengeluh tak berkesudahan. Menyalahkan itu dan ini.
Ujian berbentuk kesenangan atau kesusahan itu adalah sunatullah dalam kehidupan.
Allah menguji setiap hambanya dengan cara yang berbeza, mengikut kadar kemampuan seseorang itu, dan pada masa yang tepat.
Mahu ataupun tidak mahu, kita kena menerima dan menghadapi dugaan yang medatang. Siapa kita untuk mempersoalkan kenapa kita diuji andai selama ini kita selalu memungkiri perintahNya yang diperintahkan kepada kita?
Amat baiknya Allah, dengan ujian yang hadir itu membuat kita lebih matang dan kuat untuk mendepani hari-hari yang mendatang.
Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah, Dia uji kita bersebab.
Mungkin dengan ujian yang hadir itu, Allah nak angkat darjat kita, Allah nak hapus dosa-dosa kita, dan Allah nak beri pahala pada kita.
Maka, senyum dan berbahagialah menjadi insan pilihan yang diujiNya.
Wahai manusia yang mendambakan kebahagiaan didunia dan di akhirat,
Andai dugaan itu menjengukmu, tidak dapat tidak, kita kena rapat dengan Allah. Kekuatan itu milikNya, maka mohon kekuatan dariNya, mengadu segalanya dengan Dia.
Usahakan untuk perbaiki iman. Solat jangan tinggal dan usahakan solat diawal waktu, lazimi juga diri dengan istighfar dan selawat, dan cuba buat ibadah yang kau tak pernah buat/ tak biasa buat seperti solat tahajud, qiamulail, solat dhuha, dan sebagainya.
Dari situ, insya-Allah kau akan terdidik sedikit demi sedikit untuk kuat, sabar dan redha dengan apapun yang terjadi dalam kehidupanmu.
Dari situ kau akan rasa, betapa nikmatnya bergantung harap sepenuhnya pada Allah. Bersabarlah dalam ketaatan untuk beribadah kepadaNya. Moga kesudahan kita semua adalah kesudahan yang baik.
Rujukan :
Al-Quranul Karim
Sahih Bukhari
Mukhtasar Minhajul Qosidin
Web Rasmi JAKIM
0 Response to "Sabar Menghadapi Ujian Yang DiberiNya"
Post a Comment