Buahan seperti lemon dan limau nipis sangat dikenali sebagai agen pencuci kan? Namun, banyak bahan lain yang boleh menyenangkan kehidupan seharian pembaca andai ia digunakan pada cara yang betul.
Tahukah pembaca, terdapat sebilangan bahan mentah yang menjadi makanan setiap hari, sebenarnya bertindak lebih baik daripada bahan pencuci seperti sabun dan peluntur yang dijual di pasaran?
Ya, jangan tak percaya, bahan-bahan tersebut juga sebenarnya digunakan sebagai formula untuk dimasukkan dalam kandungan bahan pencuci pada hari ini.
Tepung Jagung
Sebagai bahan penanggal kesan minyak
Ya, mesti situasi ini selalu terjadi. Apabila makan di sofa ruang tamu, akan terdapat minyak yang terjatuh ke permaidani mahupun sofa sendiri. Untuk menghilangkan kesan tersebut, tabur tepung jagung sehingga menutupi kesan minyak dan biar ia selama 15-20 minit.
Minyak Zaitun
Mampu hilangkan getah pokok
Mungkin ada antara pakaian yang pernah terkena getah pokok, maka teknik ini boleh dicuba. Cuma sapukan sedikit minyak zaitun di bahagian pakaian tersebut, ia akan tertanggal dengan sendirinya.
Beras
Mampu mencuci pengisar kopi
Teknik ini juga boleh diaplikasi untuk pengisar rempah. Caranya mudah, hanya ambil sedikit beras dan kisar. Pastinya, ia akan sekaligus mengeluarkan sisa kopi dan rempah yang tertinggal di dalam.
Potongan Roti
Sebagai medium mengutip sisa kaca
Mungkin ada sesetengah suri rumah tidak sedar, kaca yang pecah tidak dibersihkan seratus peratus. Maka, teknik ini boleh dicuba. Cuma ambil sekeping roti biasa dan jadikan seperti kain lap di seluruh kawasan kaca berderai. Ia mampu mengutip sisa-sisa kecil kaca yang mungkin tidak kelihatan di pandangan mata kasar.
Garam
Sebagai bahan peluntur tumpahan wain merah
Bagi menghilangkan kesan wain merah, pembaca cuma perlu menggunakan garam kerana garam merupakan agen yang akan menyerap tumpahan tersebut. Namun, ia harus dilakukan segera sebelum kering.
Kacang Walnut
Untuk hilangkan calar pada perabot kayu
Hanya kupas kacang walnut dari kulitnya dan sental di bahagian yang bercalar. Kemudian, gunakan tangan untuk menyapu kesan minyak yang keluar dari biji walnut.
Selepas beberapa minit, ambil kain dan lap perlahan-lahan di kawasan calar tersebut. Hasilnya pasti mengagumkan kerana kesan calar akan hilang!
Bawang
Untuk hilangkan kesan karat pada pemanggang
Caranya mudah, panaskan sebentar pemanggang, kemudian gosok belahan bawang di bahagian yang berkarat. Pastinya, sisa-sisa makanan dan kesan besi karat akan tertanggal selepas itu.
Sos Tomato
Untuk kilatkan barangan tembaga
Mungkin tidak ramai yang akan mengaplikasikan teknik ini pada barangan tembaga mereka, namun apa salahnya mencuba, bukan?
Senang sahaja, cuma sapukan sos tomato di sekitar permukaan tembaga dan biarkan selama beberapa minit. Kemudian, bilas dengan air. Tembaga akan menjadi berkilat seperti sediakala.
Kulit Timun
Boleh hilangkan contengan di dinding dan meja
Bagi ibu bapa yang memiliki anak ‘kreatif’ dan ‘berseni’, mereka boleh menggunakan kulit timun untuk menghilangkan kesan contengan di dinding.
Malah, jika ada yang cuba mengelak daripada kesan wap pada cermin ketika mandi, cubalah tip menggosok kulit timun di situ sebelum mandi.
Kulit Pisang
Sebagai bahan mencuci barangan perak
Jangan pandang enteng akan keberkesanan kulit pisang. Jika ada pembaca yang memiliki barangan berasaskan perak, cuba guna teknik mengilatkan barangan tersebut mengunakan kulit pisang.
Coca cola
Sebagai agen pembersih tandas
Sebab itu ramai yang menegah untuk selalu meneguk minuman coca cola kerana kesannya sangat kuat. Tak percaya, cuba curah air coca cola ke dalam mangkuk tandas dan lihat kesannya beberapa minit selepas itu. Ia mampu menanggalkan kesan kotoran di sekitar mangkuk!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "11 Bahan Makanan Yang Boleh Digunakan Untuk Mencuci "
Post a Comment