KALAU anda ke Kuala Kubu Bharu, Selangor, saya cadangkan anda bermalam di sebuah banglo lama yang terdapat di situ. Cubalah rasai pengalaman misteri yang dikatakan sering berlaku di situ.
Mungkin anda akan melihat apa yang akan saya ceritakan kali ini.
Mungkin anda akan melihat apa yang akan saya ceritakan kali ini.
Untuk pengetahuan anda, banglo itu letaknya di lereng bukit, berhampiran pekan Kuala Kubu Bharu. Suatu ketika dahulu, ia dijadikan rumah tumpangan untuk pegawai-pegawai kerajaan dan dijaga oleh seorang pengawal keselamatan, Abdul Razak Musa. Razak tinggal bersama keluarganya di rumah pekerja, berhampiran banglo tersebut.
Sepanjang menjalankan tugasnya bermula pertengahan 1970-an, Razak dan keluarganya sering melihat jelmaan serta bunyi-bunyi pelik di sekitar kediaman itu.
Lewat malam, Razak pernah terdengar bunyi tetamu datang. Pintu pagar ditolak dan digoyang, dapat didengarnya dengan jelas. Bagaimanapun, apabila Razak keluar untuk membuka pintu pagar, didapatinya tiada sesiapa di situ.
Selang beberapa malam, isterinya melihat sekumpulan askar Jepun tanpa kepala berkawad masuk ke kawasan banglo sebelum hilang di hadapan pintu rumahnya. Jelmaan tentera Jepun ini turut dilihat oleh anak perempuan Razak.
Pada waktu lain mereka terdengar bunyi sekumpulan tentera berkawad, kelibat-kelibat hitam mundar-mandir dan lampu di dalam banglo terbuka serta tertutup dengan sendiri. Bunyi pintu dibuka dan ditutup juga sering didengar.
Kini Razak tidak lagi bekerja di situ. Banglo tersebut terbiar begitu saja dan dipenuhi semak-samun.
Untuk makluman anda, banglo itu asalnya kediaman jurutera Inggeris. Bagaimanapun, tentera Jepun kemudian merampas banglo tersebut dan menjadikannya sebagai markas. Pelbagai penyeksaan dan peristiwa ngeri berlaku di dalam banglo berkenaan.
Selepas pemergian Jepun, banglo itu diduduki semula. Namun, tiada siapa yang mampu tinggal di situ lebih daripada dua malam kerana tidak sanggup diganggu pelbagai jelmaan menakutkan.
Kisah banglo terbiar ini pernah disiarkan oleh majalah Infiniti, terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. pada Ogos 2009.
Seorang kenalan bernama Azri pernah bercerita kepada saya sebuah kisah misteri. Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia masih di sekolah rendah.
Menurut Azri, semasa cuti sekolah, dia tinggal di banglo bapa saudaranya di utara tanah air. Banglo itu merupakan bekas kediaman pegawai Inggeris pada zaman penjajahan dahulu.
Suatu malam, Azri berbaring sendirian di ruang tamu banglo tersebut. Sekitar pukul 12.00 malam, Azri tiba-tiba terdengar bunyi seperti orang memasak di dapur. Bunyi orang menggoreng, membuat air di dalam teko, pinggan mangkuk disusun dan dicuci kedengaran jelas. Anehnya, dapur banglo itu gelap gelita.
BAYANGAN
Tidak lama kemudian, bayangan seseorang berpakaian kemas serta membawa beg bimbit melangkah turun dari bilik di tingkat atas, menuju ke bawah.
Bayangan itu pergi ke pintu depan dan berhenti di situ. Tidak lama kemudian, muncul seorang wanita dari arah dapur. Mereka berbual sesuatu sebelum lelaki itu keluar menembusi pintu depan yang tertutup rapat. Bunyi enjin kereta kedengaran dan kemudian keluar dari halaman rumah.
Sepanjang peristiwa itu, Azri hanya mematikan diri di atas sofa. Badannya menggigil kerana dia tahu, itu bukan manusia.
Apabila Azri menceritakan apa yang berlaku, bapa saudaranya hanya tersenyum dan berkata, sebenarnya lebih pelik daripada itu pun telah disaksikannya!
Sebagai wartawan, kes-kes sebegini sudah sering saya dengar. Lebih-lebih lagi di rumah yang terbiar kosong selepas kematian pemiliknya. Di rumah yang pemiliknya membunuh diri atau dibunuh, situasinya lebih menggerunkan. Ada orang yang melihat si mati mundar-mandir di dalam rumah, jelmaan si mati tergantung dan suara jeritan.
Para pengkaji paranormal Barat mengkategorikan jelmaan ini sebagai sisa-sisa entiti (Residual entity). Sisa entiti ini bermaksud jelmaan seseorang yang sering dilihat di sesuatu premis, sering kali berwarna hitam, separuh telus, berkabus serta berasap. Bagaimanapun, ada juga yang menyaksikannya jelas menyerupai imej orang yang pernah tinggal di premis tersebut.
Jelmaan ini bergerak seperti manusia yang masih hidup. Ia berjalan menaiki tangga, berdiri di dapur, mundar-mandir di dalam bilik, berlari dan sebagainya.
Melalui kajian mereka, pengkaji paranormal Barat mendapati apa yang disaksikan itu bukannya hantu. Ia sebaliknya ulang tayang kejadian yang pernah berlaku pada suatu masa dahulu.
Lebih jelas lagi, kejadian itu telah dirakam oleh sesuatu di dalam premis berkenaan, kemudian diulang tayang semula pada waktu-waktu tertentu. Sifatnya seperti pita kaset dan pemain cakera padat.
Pelik bunyinya, bukan? Tentu juga anda bertanya, apakah objek yang telah merakam kejadian itu? Jangan terperanjat, sebenarnya pelbagai objek, baik dinding mahupun perabot, adalah objek yang boleh merakam sesuatu kejadian. Paling kuat daya rakamannya adalah air.
Fenomena ini dipanggil Stone tape theory. Ia bermaksud sesuatu itu dirakam oleh suatu objek lain yang tidak bernyawa. Teori yang diperkenalkan pada 1970-an ini menyatakan, benda-benda yang tidak bernyawa mempunyai keupayaan untuk menyerap beberapa jenis tenaga yang berasal daripada benda hidup.
Lebih mudah difahami, kalau suara boleh dirakam, begitu juga dengan visual kehidupan seharian kita. Rakaman itu berlaku ketika tercetusnya keadaan-keadaan tegang seperti tragedi pembunuhan atau insiden cemas yang mengancam nyawa.
Teori ini seterusnya menyatakan, emosi adalah suatu bentuk tenaga. Apabila berlaku insiden mencemaskan, emosi yang dilepaskan oleh seseorang itu adalah begitu kuat, hinggakan barang-barang yang terdapat di sekitar tempat kejadian seperti dinding dan perabot dapat menyerap serta merakam visualnya.
Rakaman itu akan terpendam di dalam objek-objek tersebut dan pada waktu tertentu, ia dipindahkan kepada orang yang berada di sekitarnya.
Pelik? Begini... setiap manusia mempunyai medan psikik yang tersendiri. Lain orang, lain tahap medan psikik mereka. Sebab itu kita sering mendengar, ada orang boleh merasai serta melihat entiti dan dapat ‘melihat’ apa yang bakal berlaku, sedangkan orang lain tidak.
Apabila berada di sesuatu tempat yang telah merakam suatu insiden, medan psikik seseorang itu secara tidak disedari telah ‘menangkap’ rakaman tersebut. Ia umpama keupayaan kita menemui gelombang siaran televisyen.
Rakaman insiden itu kemudian tertayang di hadapan mata si penerima seperti menonton sebuah wayang.
Oleh kerana itu, ada insiden yang rakamannya tidak dapat dilihat kerana cepat hilang. Sedangkan, ada insiden yang rakamannya mampu bertahan bertahun-tahun lamanya.
0 Response to "Tentera Jepun tanpa kepala..."
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.