Port Dickson: Hanya kerana hampir melanggar sebuah kereta jenis Mercedes Benz yang dipandu seorang wanita, seorang peniaga ayam ditumbuk dan ditampar di muka oleh seorang lelaki dalam kejadian di Batu, 4, Jalan Pantai, di sini, Jumaat lalu.
Mangsa, Shaharuddin Mohd Aris, 36, berkata, dia kesal dengan kejadian itu apabila ditumbuk dan ditampar lelaki terbabit yang dipercayai teman kepada wanita berkenaan.
Katanya, dalam kejadian jam 8.40 malam, dia memandu kenderaan jenis Nissan Serena dari Pasir Panjang menuju ke Pekan Port Dickson, di sini, manakala pasangan berkenaan dari arah bertentangan.
Menurutnya, dalam perjalanan itu, kereta dinaiki pasangan terbabit tiba-tiba membelok ke kanan iaitu menghala ke arah Pantai Batu 4, menyebabkannya menekan brek mengejut.
“Bagaimanapun, saya tidak melanggar kenderaan mereka. Namun, selepas keluar kereta, lelaki terbabit berteriak menggelar saya kurang ajar sebelum dia melepaskan tumbukan ke muka saya,” katanya.
Shaharuddin berkata, lelaki itu juga bertindak melampau apabila menumbuk bahagian badan keretanya
hingga remuk sebelum anak lelakinya berusia 15 tahun cuba meleraikan pergaduhan.
“Namun, anak saya juga menerima nasib sama apabila dia ditumbuk di muka,” katanya.
Menurut Shaharuddin, sewaktu dia cuba beredar, lelaki itu sekali lagi menampar mukanya, malah perbuatan itu turut disaksikan isteri dan dua lagi anaknya.
Katanya, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson bagi mengambil tindakan lanjut terhadap samseng jalanan itu.
“Saya kesal diperlakukan sedemikian rupa. Jika saya salah sekalipun lelaki berkenaan tidak patut bertindak demikian,” katanya.
Sementara itu, jurucakap IPD Port Dickson yang dihubungi mengesahkan menerima laporan dan berkata, kes itu masih disiasat.
0 Response to "Ditumbuk, ditampar samseng jalanan"
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.