Beranda · Teknologi · Olahraga · Entertainment · Gaya Hidup

DUA GADIS DICEKUP CUBA CURI MOTOSIKAL



IPOH – Dua gadis dicekup penduduk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Jelapang Baru ketika cuba melarikan sebuah motosikal dalam kejadian petang semalam.


Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian pada kira-kira jam 3 petang itu, beberapa penduduk kampung memerhatikan gelagat kedua-dua remaja itu sebelum menahan mereka.

Menurutnya, kedua-dua remaja berusia 14 tahun itu dipercayai menceroboh laman rumah dan menolak keluar sebuah motosikal jenis Yamaha perlahan-lahan bagi mengelakkan penghuni rumah menyedari kehadiran mereka.

“Difahamkan kunci ditinggalkan pada motosikal itu dan pada mulanya kedua-dua remaja terbabit hanya menolak motosikal tersebut dan kemudian menghidupkan enjin untuk melarikannya, namun tidak berjaya,” katanya.

Beliau berkata, cubaan kedua-dua gadis tersebut melarikan motosikal berkenaan disedari penduduk kampung yang kemudiannya menghubungi Balai Polis Jelapang untuk tindakan lanjut.

Katanya, seorang daripada remaja terbabit dipercayai lari dari rumah dan tinggal bersama rakannya.

“Selain itu, difahamkan, remaja terbabit mempunyai masalah keluarga dan jarang tinggal di rumah sendiri,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai kejadian itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kes berkenaan. – Sinar Harian

0 Response to "DUA GADIS DICEKUP CUBA CURI MOTOSIKAL"

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.