Beranda · Teknologi · Olahraga · Entertainment · Gaya Hidup

Doa Memohon Zuriat Atau Anak



Dalam Islam terdapat tips atau amalan yang boleh diamalkan agar dipermudahkan mendapat zuriat yang baik dan soleh.

1)   Bersangka baik dengan Allah s.w.t. serta berdoa dengan membaca ayat 38, surah Ali-Imran yang bermaksud: 
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa.” 
Al-Imam Al-Samarqandi meriwayatkan bahawa Nabi Zakaria a.s pernah merasakan baginda tidak akan mendapat zuriat sehinggalah baginda melihat anugerah Allah s.w.t. Maka baginda meyakini bahawa Allah berkuasa mengurniakan baginya anak. Tambahan pula, baginda memegang amanah menjaga kunci rumah Qurban yang diwarisi turun-temurun. Keturunan dalam ayat ini bermaksud anak yang sihat sejahtera dan berakhlak.

2)  Bersangka baik dengan Allah s.w.t serta berdoa dengan ayat 89, surah al-Anbiya yang bermaksud: 
“Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkau jua sebaik-baik yang mewarisi.” 
Ayat ini juga berkenaan dengan kisah Nabi Zakaria a.s. untuk memperoleh anak yang baik bagi menyambung zuriatnya.Amalkan membaca doa ini bersama doa dalam surah Ali-Imran tadi untuk mendapat zuriat. 

Selain itu berikhtiarlah dengan perkara-perkara yang dibenarkan syarak. Pasangan suami isteri juga dinasihatkan supaya memperbanyakkan sedekah, puasa sunat dan qiamullail untuk mendapat anugerah Allah s.w.t. yang hebat ini.

Bagi ibu yang mengandung, persediaan rohani dan adab penting semasa mengandung bagi menentukan tingkah laku anak yang bakal dilahirkan samada baik atau sebaliknya. Untuk mendapat anak yang baik dan soleh, terdapat amalan yang patut diamalkan oleh kedua-dua ibu bapa anak itu sendiri, iaitu :

  1. Memperbanyakkan taubat dan istighfar. Ibu bapa yang banyak melakukan taubat dan istighfar, Allah s.w.t. sentiasa mengasihi dan merahmati kedua-duanya dan juga segala isi dalam rumahtangga termasuk anak dalam kandungan.

  2. Berpuasa sunat. Khusus untuk suami, banyak berpuasa sunat atau sekurang-kurangnya semingu dua kali atau sehari pada hari Isnin dan Khamis atau salah satu daripada hari-hari berkenaan atau pada hari-hari putih (13, 14 dan 15 bulan Hijrah). Perlu diingatkan, amalan puasa sunat cuma digalakkan dilakukan oleh suami atau bapa (bagi anak) sahaja seperti mana dilakukan oleh Nabi Zakaria a.s. Bagi ibu, sekiranya tidak memberi kesan kepada kesihatan bayi dalam kandungan bolehlah diamalkan.

  3. Tidak bercakap yang sia-sia. Ketika isteri sedang mengandung, suami seboleh-bolehnya tidak bercakap yang sia-sia, lebih-lebih lagi yang boleh mendatangkan dosa seperti mengumpat, menfitnah dan sebagainya. Sebaliknya, basahilah lidah dengan berzikir dan bertahmid atau bercakap yang mendatangkan faedah.

  4. Banyak berdoa. Sentiasa berdoa agar Allah s.w.t. mengurniakan anak yang soleh atau solehah. Sekurang-kurangnya setiap lepas sembahyang, bacalah doa khusus bagi ibu yang sedang mengandung.

  5. Banyak membaca al-Quran. Secara umumnya, elok membaca al-Quran dengan semua surah, tetapi di sini ustazah mengkhususkan surah-surah yang dibaca serta kesannya.
  • Surah al-Fatihah – Untuk menerangkan hati dan menguatkan daya ingatan
  • Surah Maryam – Untuk memudahkan ibu bersalin dan memperolehi anak yang sabar dan taat.
  • Surah Luqman – Untuk memperoleh anak yang cerdik akal dan cerdik jiwa.
  • Surah Yusuf – Untuk memperoleh anak yang cantik rupa dan cantik akhlak.
  • Surah Hujurat – Untuk memperbanyakkan susu ibu da dan anak bersifat berhati-hati
  • Surah Yaasin – untuk ketenangan hati dan anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat.
  • Surah Taubah – Untuk membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat.
  • Surah an-Nahl – Untuk melahirkan anak yang berdisiplin.


Amalan-amalan untuk memperolehi zuriat

Setelah berusaha dengan perubatan moden dan kampung untuk memperoleh zuriat bahkan telah berdoa kepada Allah, namun belum memperoleh zuriat, maka kita dituntut supaya banyak bersabar dan jangan dalam keadaan tertekan. Perasaan yang tidak stabil akan mengganggu keadaan dalam diri anda dan ini akan menyukarkan lagi bagi anda berdua untuk memperolehi zuriat.

Di dalam berdoa kita disuruh menaruh harapan seratus peratus kepada Allah dan yakin bahawa Allah berkuasa untuk mengabulkan doa kita tersebut. Yang paling penting awali doa dengan pujian kepada Allah dan selawat kepada Rasulullah SAW begitu juga dalam menutup doa.

0 Response to "Doa Memohon Zuriat Atau Anak"

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.