Polis Siasat Sekumpulan Pelajar Dirotan Warden



GEORGETOWN – Polis akan menjalankan siasatan untuk mengenal  pasti mereka yang terlibat dalam kejadian sekumpulan 14 pelajar sebuah sekolah berasrama  di Jalan Masjid Negeri, di sini dirotan warden asrama sehingga meninggalkan kesan lebam serta  berbirat pada pinggang dan pinggul mereka Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya  juga akan menyiasat punca kejadian sehingga sekumpulan pelajar berkenaan dipukul yang  dipercayai berlaku antara pukul 7 pagi hingga 7.30 pagi itu.
“Setakat ini polis belum menerima sebarang laporan polis daripada mana-mana  pihak yang terlibat dalam kejadian berkenaan bagaimanapun kami akan menjalankan siasatan  lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan dalam kejadian itu, sebahagian besar daripada mereka  adalah pelajar tingkatan lima yang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dirotan dan dimarah selepas tidak solat Subuh di surau sekolah berkenaan.
Kumpulan pelajar yang tidak menunaikan solat Subuh di surau akibat kepenatan  berikutan mengulangkaji pelajaran hingga lewat malam itu dihukum empat kali rotan oleh  warden manakala pengawas sekolah yang turut tidak menunaikan solat dikenakan lapan kali  rotan hingga meninggalkan kesan lebam di pinggang dan pinggul.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Datuk Osman Hussain berkata, beliau telah dimaklumkan kejadian berkenaan bagaimanapun masih belum menerima laporan  mengenainya.
Katanya, pihak sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Timur Laut sedang  menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.
“Biar pihak sekolah dan PPD jalankan siasatan mereka terlebih dahulu, sebarang  tindakan atau keputusan mengenai kejadian itu bergantung kepada laporan mereka,” katanya. – BERNAMA

0 Response to "Polis Siasat Sekumpulan Pelajar Dirotan Warden"