Wajib rasanya bagi seorang wanita untuk memiliki sepasang kasut tumit tinggi kerana selain mencantikkan penampilan, ia juga membuat empunya badan berasa lebih percaya pada diri sendiri walaupun bertubuh rendah.
Namun, ramai mungkin tidak sedar risiko yang timbul akibat memakai kasut ini kerana jika tumit terlalu tinggi, si pemakai boleh berasa tidak selesa sehingga terjatuh ketika berjalan, menurut kajian terbaharu Universiti Stanford University, Amerika Syarikat.
Malah kajian itu menyatakan, kasut tumit tinggi boleh mempercepatkan penuaan hingga 20 tahun lebih awal apabila penyelidik menilai bagaimana seorang wanita dengan fizikal sihat berjalan sambil memakai kasut yang tinggi berbeza-beza.
Responden wanita terbabit diminta memakai kasut kasual atau sneakers yang rata, kasut bertumit tinggi 4 cm dan 8 cm selain diminta berjalan dengan serta tanpa mengenakan rompi seberat 20 peratus daripada keseluruhan berat badan mereka.
Penyelidik kemudian mengamati gerak tumit responden ketika mereka berjalan dan berdiri, maka hasil penemuan yang diterbitkan Journal of Orthopaedic Research ternyata cukup memeranjatkan ramai pihak khususnya golongan wanita.
Kumpulan saintis tulang itu mendakwa, pencinta kasut tumit super tinggi atau stiletto heels apabila memakai sepatu berkenaan, kedudukan tumit mereka boleh dengan mudahnya beralih hingga berubah bentuk apatah lagi ketika kaki menyentuh lantai.
Keadaan ini juga membuat lutut si pemakai menjadi tegang dan kaku, sehingga cara berjalan menjadi seperti warga emas atau macam mengalami penyakit tulang rapuh artritis dan lebih buruk apabila memiliki kelebihan berat badan.
Tubuh wanita itu lebih menekan sendi sekali gus lutut yang tegang dan kaku mewujudkan pelbagai masalah apabila berjalan, malah pemakaian kasut tumit tinggi dengan berat badan berlebihan boleh menyebabkan peningkatan risiko ke atas tubuh.
Saintis bagaimanapun merumuskan, tidak ada masalah mengenakan kasut tumit tinggi untuk menghadiri acara formal tertentu tetapi adalah lebih baik jika tidak terlalu sering memakai kasut jenis ini dan diganti dengan kasut tapak lebih rata.
0 Response to "Wanita Pakai Kasut Tumit Tinggi Cepat Tua !??"
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.