Beranda · Teknologi · Olahraga · Entertainment · Gaya Hidup

Misteri Bulatan Aneh Di Gurun Namib

Berjuta-juta bulatan aneh yang digelar sebagai 'Fairy Circle' telah muncul di sebahagian besar tanah tandus di Gurun Namib, Afrika Selatan.

Fairy Circle Africa

Misteri bagaimana corak pelik itu hadir atau mengapa ia wujud di daerah tersebut pernah mencetuskan perdebatan hangat di kalangan saintis selama beberapa dekad.

Fairy Circle atau Bulatan Dongeng telah mula dikaji selepas berita penemuannya dilaporkan pada tahun 1971. Daripada penelitian yang dilakukan oleh saintis menunjukkan bahawa tanah kering dan separa tandus di Gurun Namib tidak pernah 'duduk diam'.

Tanaj berpasir di sana sering dilihat membentuk bulatan-bulatan sempurna, hampir mirip seperti cincin sebenar.

Apa yang menampakkan ia pelik adalah bahagian tengah bulatan yang kelihatan 'botak' dan lapang kerana tiada satu pun flora hidup di dalamnya. Tumbuhan seperti rumput cuma hidup di bahagian lingkaran, seolah-olah memagar bulatan tersebut.

Formasi ganjil ini selalu dilihat hadir secara berkumpulan. Kebanyakannya di lebih 1,200 kilometer dalam Gurun Namib dan merebak sehingga ke Angola. Dikesan telah wujud di daerah tidak berpenghuni itu sejak 30 hingga 60 dahulu lagi.

Proses pembentukannya pula berlaku secara berterusan, tanpa henti. Malah ia berkembang hingga mencapai ukuran diameter antara dua hingga 12 meter.

Perdebatan telah berterusan selama beberapa waktu untuk mencari penjelasan saintifik berhubung punca pembentukan Fairy Circle. Dalam perdebatan itu, beberapa teori cuba dikaitkan dengan fenomena tersebut, antaranya, UFO, gas tosik, persaingan tumbuh-tumbuhan dan semut.

Manakala mitos tempatan pula berpendapat, naga yang tinggal di bawah Bumi telah mengeluarkan nafas berapi hingga membentuk corak ganjil itu.

Norbet Jurgens Fairy Circle Africa

Pada bulan April 2013, seorang saintis dari University Hamburg, Norbet Jurgens, mencadangkan satu spesis anai-anai pasir bertanggungjawab mencorakkan bulatan-bulatan tersebut.

Hasil kajiannya terhadap beratus-ratus bulatan mendapati, anai-anai pasir atau Psammotermes Allocerus merupakan satu-satunya spesis yang konsisten hadir pada bulatan tersebut.

Teori itu dibuktikan berdasarkan kepada penemuan anai-anai pasir dalam jumlah 80 hingga 100 peratus pada bulatan lama dan baru. Kehadiran serangga hidup di situ dipercayai telah mengorek lubang di dalam tanah dan memakan akar tumbuhan. Tujuan memakan akar berkenaan adalah untuk mematikan tumbuhan tersebut.

Fairy Circle Africa - Psammotermes Allocerus
Psammotermes Allocerus, spesis yang konsisten hadir pada bulatan.

Setelah tumbuhan mati, anai-anai tidak perlu bersaing lagi dengan tumbuhan yang biasanya memerlukan air untuk hidup. Ini membolehkan anai-anai pasir terus hidup dan kekal aktif walaupun pada cuaca panas yang ekstrem.

Persoalannya, bagaimana air diperolehi walhal daerah itu sebuah padang pasir yang tandus?

Gurun Namib merupakan sebuah padang pasir yang mana keadaannya sangat tandus dan separuh kering. Julat hujan yang turun di daerah ini juga agak sedikit. Begitu pun, hujan inilah yang menentukan pembentukan Bulatan Dongeng.

Bulatan tersebut menurut Jurgens, adalah perangkap air yang dicipta oleh anai-anai pasir. Serangga berkenaan memakan semua rumput dalam bulatan hingga mendedahkan tanah tandus atau kawasan kosong di tengah-tengah bulatan.

Bahagian zon bebas rumput ini bertujuan untuk menyimpan mana-mana air hujan yang turun. Air yang terperangkap di dalamnya kemudian meresap ke dalam tanah berpasir dan berkumpul di bawah tanah.

Kerja-kerja kejuruteraan ekologi anai-anai ini membolehkan tanah tidak kering dan kekal lembab walaupun di bawah keadaan kering-kontang.

Fairy Circle Africa [3]

Dengan itu, ia secara perlahan-lahan meluaskan bulatan seterusnya bercambah. Simpanan air bawah tanah juga membantu rumput tumbuh di sekeliling bulatan. Kemampuan kejuruteraan ekologi yang mengagumkan seperti itu memberi kelebihan kepada anai-anai untuk menyimpa sumber makanan dan air sendiri.

Seorang ahli botani dari Universiti Cape Town di Afrika Selatan bagaimanapun menolak teori anai-anai. Beliau agak musykil bagaimana bulatan-bulatan itu berada pada jarak dan saiz yang sama.

Menurutnya, adalah sukar untuk dijelaskan mengapa serangga hidup itu menghasilkan bulatan besar yang saiz dan jaraknya berukuran sama rata.

Walter R. Tschinkel, ahli biologi dari Florida State University turut melahirkan rasa tidak percaya bahawa anai-anai sebagai penyebab kepada pembentukan corak bulat itu. Beliau mengatakan bahawa Jurgens telah melakukan kesilapan yang mengelirukan kerana sebelum ini dia pernah mencari anai-anai penuai di kawasan Bulatan Dongeng, tetapi tidak berjaya menemuinya.

Kenyataan itu mendapat respon daripada Jurgens. Dia menjelaskan bahawa anai-anai penuai tidak sama dengan anai-anai pasir. Anai-anai pasir tinggal jauh di dalam tanah dan berpusat di bawah Bulatan Dongeng. Ia tidak mewujudkan timbunan atau sarang di atas tanah seperti spesis lain.

Pada hari ini, mereka terus tenggelam di dalam tanah, bersembunyi daripada musuh. Pada waktu malam, ia naik ke permukaan untuk menghilangkan jejak dan menghasilkan tapak tanah yang tidak dapat dilihat di sekitar bulatan.

Oleh kerana tingkah laku pelik ini, anai-anai pasir sukar dikesan kehadirannya.

0 Response to "Misteri Bulatan Aneh Di Gurun Namib"

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.