Kata-kata itu meluncur laju daripada bibir ibu mertua saya saat bersalaman dengan sanak saudara yang hadir pada majlis kenduri kami.
Sungguh saya kecil hati dengan kenyataannya. Kata-kata itu disambut dengan hilai tawa saudara sambil menjeling sepintas lalu ke arah saya yang sibuk melayan tetamu lain.
Tiada majlis bersanding atau upacara bergambar. Sekadar jamuan makan dan tahlil diiringi jamuan makan bersama-sama saudara dan jiran tetangga. Suasana harmonis itu membuatkan saya bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengan keluarga yang baik ilmu agamanya berbanding saya, yang tidak bertudung dan jauh lebih sosial ini.
Memang, saya berpenampilan tidak seperti adik-beradik perempuan suami yang bertudung labuh dan berbaju litup kesemuanya. Saya tidak bertudung.
Berpakaian tidak cukup kain dan perang rambutnya. Tapi pada hemat saya ketika itu, saya ada budi bicara dan susila. Saya dididik untuk menghormati orang tua dan saudara seagama.
Berkecil hati
Saya amat menitikberatkan soal penampilan dan kerjaya, malah ibu bapa saya seorang yang menjaga kata-kata. Kami adik-beradik diasuh untuk bercakap hanya bila perlu dan tidak suka mengumpat orang sekeliling. Di rumah suami, saya hanya menjauhkan diri daripada orang ramai kerana berasa terasing dan berasa rendah diri apabila diperli.
“Pergilah duduk di ruang tamu. Bersembang dengan kakak dan mak. Ambil hati mereka. Kenapa duduk dalam bilik saja?” Tegur suami, setelah lima bulan kami mendirikan rumah tangga
Arahan suami saya patuhi. Saya ke ruang tamu mengambil tempat berdekatan adik-beradik suami.
Tidak sampai seminit saya duduk, suasana yang tadinya riuh rendah bertukar sunyi. Adik dan kakak ipar termasuk ibu yang empat orang kesemuanya diam tak berkutik.
Mereka seakan hairan dan tidak selesa dengan kehadiran saya di situ. Kakak menguatkan suara televisyen.
“Mai masuk bilik dululah bu. Tak sukalah ada orang bandar dengar cakap kita. Esok kita sembang ya. Assalamualaikum.” Adik bongsu suami bernama Maisarah mengundur diri.
Dia bersalaman dengan semua kakaknya termasuk ibu, tetapi tidak dengan saya yang sedia menghulurkan tangan. Sudahnya saya termenung sendirian memandang peti TV tanpa perasaan. Saya tidak sedar bila semuanya bersurai.
Semua perbuatan jadi tak kena
Saya baru sahaja masuk ke rumah selepas mengangkat jemuran di ampaian sewaktu terdengar ibu mengeluh sakit kaki. Sudah dua hari saya dan suami bercuti di rumah ibu.
Perasaan kasihan yang tinggi membuatkan saya tidak berfikir panjang lalu mencapai botol minyak panas di atas rak berdekatan.
Saya tarik kaki ibu dan saya urut tanpa meminta izin terlebih dahulu. Saya bukanlah arif fasal urutan tapi kerana menjadi kebiasaan saya mendapatkan perkhidmatan urutan di spa dan pusat tradisional, tekniknya dapat saya tiru dan buat.
“Aduhhh! Apa kau buat ni perempuan? Nak bunuh aku ke? Siapa suruh kau tekan kaki aku ni! Pergi sana! Aku tak suka! Sakit...” Ibu menjerit kuat. Kakak keluar bilik dan mendekati kami. Saya belum sempat berikan apa-apa penjelasan sebelum kakak merampas botol minyak angin sambil memukul bahu saya.
“Apa kau buat kat ibu? Tak fahamlah manusia tak ada adab macam kau ni. Sebelum nak jaga orang, tubuh kau tu tutup dulu. Jaga dulu. Selepas tu baru ambil tahu hal orang lain...” kata-kata kakak ipar itu melekat dalam kepala saya. Ia berlegar-legar tanpa arah keluar.
Selepas beberapa minggu balik ke Kuala Lumpur pun saya masih tak dapat lupakan apa yang kakak cakapkan. Sindirannya memang sinis dan tajam menghiris hati, tapi saya tidak mampu menafikan kebenarannya.
Ya... saya akui, layanan adik-beradik suami termasuk ibu mertua terlalu hambar terhadap saya. Ia jelas dan nyata menunjukkan betapa mereka tidak suka dengan saya dan tidak pernah bersetuju dengan pilihan abang sulung mereka.
Begitulah hubungan saya dengan keluarga sebelah mertua yang hambar dan terasing. Tapi setiap perkara dan peristiwa yang meruntun jiwa itu saya simpan dalam hati. Tidak pernah sekali pun saya mengadu.
Kirim hadiah dari jauh
Beberapa bulan berlalu, saya ambil keputusan untuk tidak lagi balik mengiringi suami ke kampungnya. Walhal sejak dulu, paling kurang dua minggu sekali kami balik kampung. Saya beri alasan terlalu sibuk dengan bisnes butik saya.
Namun, tanpa pengetahuan suami saya selalu mengirim baju dan telekung atau kain pasang melalui pos kepada keluarga suami. Ibu, kakak dan adik-adiknya semua dapat hadiah.
Dalam kiriman itu saya letakkan kad dengan ucapan maaf dan nyatakan ia sebagai pengganti diri. Setiap kali suami balik ke Kuala Lumpur, dia sampaikan salam dan pertanyaan daripada keluarganya kepada saya. Saya hanya mendiamkan diri.
Perubahan diri saya ke arah Muslimah yang lebih baik disambut baik oleh suami. Dia senyum dan sering memuji kecantikan saya saat mengenakan hijab dan baju kurung.
Dari dalam hati yang paling jauh, saya akui saya lebih selesa berpenampilan begitu. Mendapat suami yang baik yang sentiasa membantu memantapkan pengetahuan agama saya membuatkan saya rasa amat bertuah dan istimewa.
Setiap perilaku dan cara berpakaian adik-beradik suami sebenarnya sentiasa menjadi perhatian saya. Saya cemburu dengan mereka. Meski pun saya dilayan hambar tetapi ada kelebihan dan kecantikan dari luaran mereka dalam bab berpakaian.
Hari ini, setelah setahun lebih saya tidak balik ke kampung suami, ibu sudah rajin menjenguk saya di sini.
Layanan ibu juga semakin baik malah ibu selalu membawa bekalan yang dimasak dari kampung ke rumah saya. Antara kata-kata ibu yang paling saya ingat adalah kebaikan saya melayannya walaupun dia tidak menyukai saya.
“Anak-anak ibu pun tak pernah kirim hadiah atau telefon ibu bila masing-masing balik ke bandar. Sha sajalah yang ambil berat kat ibu...” Ibu sudah selalu berbual-bual dengan saya sewaktu memasak di dapur dan paling utama, senyuman yang paling payah diukir kini selalu melekat di bibir ibu. Saya mendoakan hubungan kami semakin jernih dan akhirnya lebih akrab suatu masa nanti.
0 Response to "Luahan Hati Isteri Akibat Dipulau Keluarga Mertua.."
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.