Baling: Akibat kesempitan hidup, sepasang suami isteri serta empat anak mereka yang juga orang kurang upaya (OKU) terpaksa berhimpit tempat tidur dan tinggal di rumah usang di Kampung Ulu Tawar, Mukim Bakai.
Pasangan Abdullah Md Jin, 56, dan isterinya, Halifah Othman, 44, dikurniakan empat anak yang dilahirkan OKU iaitu Mohd Rasul Abdullah, 11, Mohd Aziz, 10, Siti Rosila, 9, dan Siti Noorbaiyah, 4.
Menurut Halifah, mereka tinggal di tanah rizab kerajaan sejak 30 tahun lalu dan tidak mampu membina kehidupan yang lebih baik memandangkan suaminya hanya bekerja kampung dan memandu teksi sejak lima tahun lalu.
Beliau berkata, suaminya yang menghidap penyakit kencing manis, jantung dan buah pinggang tidak mampu melakukan kerja berat dan mengambil upah memandu teksi dengan pendapatan tidak menentu bergantung kepada perkhidmatan pelanggan.
“Selain itu, suami saya juga pernah menjalani pembedahan kedua-dua belah mata, empat tahun lalu, kerana matanya kabur akibat kencing manis yang tinggi.
“Kami sekeluarga bergantung hidup dengan pencarian rezeki suami kerana saya terpaksa menguruskan semua anak-anak OKU,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Halifah berkata, suaminya keluar awal untuk mencari rezeki apabila dia sihat manakala tiga anaknya dihantar belajar di Pusat Dalam Komuniti (PDK) Ulu Bakai, kira-kira 10 kilometer dari rumahnya.
“Anak saya yang bersekolah di PDK diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengambil dan menghantar mereka ke pusat itu setiap hari persekolahan.
“Malah, kami juga menerima bantuan barangan makanan daripada JKM setiap bulan seperti beras, gula, tepung, susu, bawang, cabai, ikan sardin dan roti,” katanya.
Halifah yang menghidap sakit jantung dan lutut juga terpaksa mendapat rawatan di klinik setiap bulan.
“Saya memerlukan sebuah rumah yang lebih selesa untuk kemudahan anak-anak memandangkan mereka semua OKU dan memerlukan perhatian setiap masa.
“Mujurlah selama ini tinggal di tanah rizab kerajaan, kalau menumpang tanah milik orang, sudah tentu kehidupan kami lebih malang,” katanya.
Menurutnya, mereka menggunakan bekalan air masyarakat dengan bayaran RM3 sebulan yang dapat menjimatkan kos sara hidup.
“Rumah kami yang daif sering terdedah bahaya dimasuki haiwan berbisa seperti lipan dan ular. Rumah kami mudah dimasuki haiwan itu kerana berlubang di setiap penjuru,” katanya.
0 Response to "Hidup berhimpit"
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.