Klang: Seorang wanita Indonesia tergamam apabila menemui seorang bayi perempuan yang diletakkan depan pintu rumahnya di Jalan Batu Nilam 34, Bukit Tinggi di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, bayi perempuan cukup sifat berkenaan ditemui dibalut dengan kain oleh wanita berusia 40-an terbabit yang kemudian membawa masuk ke dalam rumahnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Superintendan Goh Lee Fook berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bayi malang itu dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam sebelum diletakkan individu tidak bertanggungjawab di rumah berkenaan.
“Polis yang dimaklumkan mengenai penemuan itu kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati bayi terbabit dalam keadaan sihat serta tidak mengalami sebarang kecederaan di badannya.
“Namun, polis setakat ini masih menjalankan siasatan kerana tiada sebarang dokumen ditinggalkan pada bayi itu ,” katanya di sini, semalam.
Kata Goh, bayi berkulit cerah dan bermata sepet seberat tiga kilogram itu sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan dilaporkan stabil.
Menurutnya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan (KK) kerana membuang bayi yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“Polis sedang menjalankan siasatan di sekitar kawasan itu dan mengambil keterangan daripada orang awam bagi menjejaki individu yang bertanggungjawab membuang bayi terbabit.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat mana-mana individu mencurigakan diminta menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
0 Response to "Bayi Ditinggal depan pintu"
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.