Beranda · Teknologi · Olahraga · Entertainment · Gaya Hidup

Serpihan Pesawat Akan Dibawa Keluar

The Hague: Penyiasat Belanda dijangka dapat memulakan operasi membawa keluar serpihan pesawat Penerbangan Malaysia MH17 dari lokasi nahas di timur Ukraine ke negara itu dalam masa terdekat.

Lembaga Keselamatan Belanda dalam satu kenyataan berkata, operasi tersebut dijangka boleh bermula dalam beberapa hari lagi.

“Satu pelan operasi sudah dipersetujui yang membolehkan serpihan pesawat diambil semula dan diserahkan kepada Lembaga Keselamatan Belanda,” kata agensi itu.

Pasukan penyiasat kini berniat untuk membina semula bahagian pesawat dengan harapan mendapat petunjuk baru yang boleh memberi gambaran lebih jelas berhubung punca nahas serta pihak yang bertanggungjawab.

Belanda mengetuai siasatan insiden nahas ini namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Belanda, Mark Rutte mengumumkan Malaysia dilantik sebagai anggota penuh dalam kumpulan penyiasat itu dalam satu sidang media bersama di Putrajaya, Rabu lalu.

Pesawat MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai lalu mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kru, termasuk 193 warga Belanda.

Sehingga kini 289 mangsa nahas itu sudah dikenal pasti termasuk kesemua 44 rakyat Malaysia.

Namun, serpihan pesawat belum dibawa keluar dari lokasi nahas di atas sebab-sebab keselamatan.

Kiev dan negara barat mendakwa pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh oleh pemberontak pro-Russia menggunakan sistem peluru berpandu BUK yang dibekalkan oleh Russia.

Russia dengan tegas menafikan dakwaan itu dan sebaliknya menuduh Kiev.

Sebelum ini, laporan awal penyiasat Belanda September lalu menunjukkan pesawat MH17 ditembusi beberapa objek pada kelajuan tinggi, sekali gus menguatkan petunjuk ia ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara.

Namun, laporan itu tidak mendakwa mana-mana pihak bertanggungjawab terhadap nahas itu

0 Response to "Serpihan Pesawat Akan Dibawa Keluar"

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.