Pesakit barah maut terjatuh dari kondominium
UmFab
SHAH ALAM: Seorang pesakit barah maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh bangunan kondominium di Seksyen 13, di sini, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa yang berusia 37 tahun itu yang tinggal di tingkat empat bangunan sama, dikatakan naik ke tingkat tujuh sebelum terjatuh di tempat letak kereta pelawat di hadapan kondominium itu.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia yang berada di rumah tiba-tiba dikejutkan dengan panggilan seorang jiran yang memaklumkan ada lelaki jatuh di hadapan rumahnya.
Katanya, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, dia segera berlari ke tempat kejadian sebelum melihat seorang lelaki berpakaian seluar pendek dan baju T putih sudah tidak bernyawa.
"Melihat keadaannya yang sudah tidak bernyawa lalu saya menutup mayatnya dengan akhbar lama sebelum menunggu pasukan perubatan dan polis sampai.
"Kami percaya dia yang tinggal di tingkat empat naik ke tingkat tujuh kerana ada sebelah selipar di koridor tingkat sama selain atap genting dari tingkat enam yang pecah turut ada di sisi mayat mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Saksi berkata, pada mulanya dia meminta jiran memaklumkan penghuni yang lain jika ada mereka yang kehilangan ahli keluarga tetapi tiada yang mengaku sebelum kira-kira 15 minit kemudian isteri mangsa turun ke tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses bedah siasat. - BH Online
0 Response to "Pesakit barah maut terjatuh dari kondominium"
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.