Beranda · Teknologi · Olahraga · Entertainment · Gaya Hidup

Dibogel kerana Mencuri Motorsikal



Kota Bharu: Padah mencuri motosikal, seorang pelajar tingkatan tiga dicederakan dan dibogel penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis di Masjid Pauh Lima, Binjai, di sini, malam tadi.



Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, pelajar terbabit dikatakan cuba melarikan sebuah motosikal milik kariah masjid itu berusia 61 tahun yang dikatakan solat Isyak.


"Dia cuba mencuri motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam tetapi tidak berjaya dan ditahan orang ramai yang baru selesai solat sebelum dipukul dan dibogelkan.


"Akibatnya, remaja itu cedera di bahagian atas kepala dan lebam di belakang badan, tangan, bahu selain kaki.


"Dia menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan kini ditahan reman," katanya di sini, tadi.


Lai berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A/ 511 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mufti Kelantan Datuk Muhamad Shukri Muhamad menyelar tindakan kariah Masjid Pauh Lima, Binjai, yang bertindak membogelkan seorang pelajar kerana mencuri.


"Kita tak boleh ambil tindakan sendiri yang menyimpang dari undang-undang negara dan hukuman tidak boleh diambil mengikut pandangan kita semata-mata.
"Islam sendiri menegah kita menelanjangkan keaiban seseorang walaupun orang itu melakukan kesalahan.


"Jadi tindakan diambil itu sangat tidak sesuai dan jauh daripada konsep Islam yang syumul," katanya ketika dihubungi di sini, petang ini.


Muhamad Shukri berkata, seseorang dianggap berdosa jika mengenakan hukuman dengan cara salah.
"Sebagai umat yang patuh, kita berpegang kepada akhlak Islam dan ini perlu sentiasa dipupuk dalam diri termasuk dalam setiap tindakan yang kita ambil.


"Orang mencuri, dia memang salah, tapi kita yang menahannya tidak boleh juga melakukan kesalahan. Telanjangkan dia, itu sudah dikira bersalah," katanya.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk pihak berkuasa sebelum mengambil tindakan yang boleh memudaratkan diri sendiri.

Nota kaki: Sebaiknya serahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan hukuman yang selanjutnya.

0 Response to "Dibogel kerana Mencuri Motorsikal"

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.