Beranda · Teknologi · Olahraga · Entertainment · Gaya Hidup

Kempunan konvo anak


Harapan menggunung seorang bapa menyaksikan hari bersejarah anak gadisnya di majlis Konvokesyen Ke-9 Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Sungai Ayer Tawar, dekat sini berakhir tragedi selepas terbunuh dalam kemalangan turut mengorbankan seorang penunggang motosikal, semalam.

Mangsa, Mazni Abdul Ghani, 58, yang memandu Perodua Myvi, maut di tempat kejadian, selepas kereta dipandunya melanggar sebuah lori sebelum merempuh motosikal dinaiki seorang lagi mangsa, Rahman Rashid, 46.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taib Ahmad, berkata kejadian berlaku jam 7.30 pagi semalam selepas kereta yang dipandu Mazni dari Kuala Lumpur, bergesel dengan kereta Proton Wira yang datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, kejadian di KM 59, Jalan Klang-Teluk Intan, itu membabitkan lima kenderaan kerana kenderaan dipandu Mazni kemudian melanggar sebuah lori yang membawa muatan barangan elektrik dari Kedah ke Negeri Sembilan lalu terbabas dan merempuh pula sebuah motosikal.“Sebuah lagi kereta jenis Proton Perdana yang dinaiki dua individu terbabas ke dalam parit berhampiran kerana mahu mengelak Perodua Myvi mangsa,” katanya. Menurutnya, Mazni dan Rahman, seorang pemandu di Pejabat Daerah Kuala Selangor maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala dan badan.

“Polis difahamkan, Mazni yang memandu dari Kuala Lumpur menghala ke Sabak Bernam dalam perjalanan untuk ke Istiadat Konvokesyen anak gadisnya di PSIS, Sungai Ayer Tawar manakala Rahman pula dalam perjalanan ke tempat kerja di Pejabat Daerah Kuala Selangor, dari rumahnya di Sekinchan.

“Kedua-dua mangsa mengalami cedera parah di kepala dan mayat mereka dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk dibedah siasat,” katanya.

Mohd Taib berkata, pemandu lori dan pemandu serta penumpang kedua-dua kereta yang lain hanya mengalami kecederaan ringan dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.


Sumber: Hmetro

2 Responses to "Kempunan konvo anak "

Note: Only a member of this blog may post a comment.